Suami ugut bakar, cederakan isteri guna cecair lilin ditahan

GERIK – Seorang lelaki ditahan malam tadi selepas dipercayai mengugut membakar dan mencederakan isterinya menggunakan titisan lilin dalam kejadian di Kampung Alai, di sini pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat di Balai Polis Kampung Lalang oleh isteri suspek berusia 36 tahun pada jam 1.32 pagi semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pada 13 April jam 10.30 malam semasa mangsa sedang tidur di rumahnya dia didatangi suspek berusia 42 tahun mengikat kedua-dua tangan mangsa dari arah belakang menggunakan tali sambil memegang sebilah pisau.

“Suspek menuduh mangsa berlaku curang dan memaksa mangsa untuk mengaku terhadap tuduhan tersebut

“Kemudian, suspek bertindak merentap rantai emas dan gelang tangan sehingga terputus, mengoyakkan baju mangsa serta menitiskan cecair lilin pada badan mangsa sambil mengugut untuk membakar mangsa.

“Mangsa kemudiannya berpura-pura ingin ke tandas dan meminta suspek untuk membuka ikatan dan semasa mangsa hendak ke tandas telah menjumpai serangkai kunci kereta pada bahagian dapur rumah,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, sejurus selepas itu, mangsa melarikan diri dengan kereta dan terus ke balai polis berhampiran untuk membuat aduan.

“Sepasukan anggota dihantar untuk menjejaki suspek yang kemudiannya ditahan pada 14 April jam 8.30 malam di kediamannya di Kampung Alai.

“Kita turut merampas beberapa barang kes dan sebilah pisau yang dipercayai digunakan suspek.

“Mangsa kemudiannya pergi ke Jabatan Kecemasan Hospital Gerik untuk mendapatkan rawatan,” jelasnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Anggota polis mengaku tidak bersalah tendang, tampar, pukul isteri

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI