Subsidi bersasar perlu diperkasa, tangani kesan ketidaktentuan harga minyak global

LUMUT – Pendekatan subsidi bahan api disaran distruktur semula kepada kaedah lebih bersasar bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan, di samping mengurangkan ketirisan.

Ketua Armada Bersatu Lumut, Syed Alif Rikiman Syed Alwi berkata, ia susulan kebimbangan terhadap ketidaktentuan harga minyak dunia akibat konflik di Asia Barat yang berpotensi meningkatkan kos sara hidup rakyat dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, beliau berkata, langkah subsidi bersasar seperti pelaksanaan harga petrol RON95 di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dilihat mampu mengurangkan impak kenaikan kos bahan api terhadap rakyat.

“Walaupun kesan langsung kenaikan harga minyak global masih belum dirasai namun kerajaan perlu mengambil langkah proaktif bagi memastikan kestabilan harga bahan api serta melindungi rakyat daripada tekanan ekonomi.

“Kenaikan harga minyak global berpotensi memberi kesan rantaian kepada ekonomi negara sekiranya tidak ditangani dengan berkesan, terutama tanpa mekanisme subsidi yang mantap.

“Antara kesan yang dijangka termasuk peningkatan kos pengangkutan, kenaikan harga makanan dan barangan asas, serta peningkatan kos operasi sektor industri yang akhirnya memberi tekanan inflasi kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap satu insiden tular di Johor Bahru yang melibatkan sebuah kenderaan dipercayai mengisi petrol RON95 menggunakan tong plastik dalam jumlah besar.

Katanya, situasi tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana berkemungkinan mencetuskan pembelian panik dalam kalangan pengguna sekiranya tidak dikawal.

“Walaupun kes ini sedang disiasat oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), kita tidak boleh menolak kemungkinan kejadian sama berlaku di tempat lain.

“Jika tiada pemantauan rapi, pembelian dalam kuantiti besar boleh menjejaskan bekalan di stesen minyak tertentu,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa sebarang pembelian bahan api melebihi 20 liter memerlukan permit khas barang kawalan berjadual yang dikeluarkan oleh kementerian berkenaan yang lazimnya diberikan bagi tujuan tertentu seperti sektor pertanian dan perikanan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa perbelanjaan subsidi kerajaan meningkat mendadak daripada sekitar RM700 juta kepada RM3.2 bilion dalam tempoh kurang seminggu, susulan lonjakan harga minyak dunia akibat konflik geopolitik di Asia Barat.

Sehingga hari ini, harga petrol RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter manakala harga diesel di Semenanjung adalah RM5.52 seliter dan RM2.15 seliter di Sabah serta Sarawak. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kenaikan diesel: Ratusan pengusaha bas bakal gulung tikar jika tidak dibantu – MCA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI