IPOH – Kerajaan Perak menerusi Pusat Pakar Rawatan Kesuburan Metro IVF Ipoh (Metro IVF) memperkenalkan subsidi khas berjumlah RM600,000 untuk 150 pasangan menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) melalui program Permata Perak.
Pakar Obstetriks, Ginekologi dan Kesuburan Metro IVF Ipoh, Dr V Jaya Balan berkata, subsidi sebanyak RM4,000 diperuntukan bagi setiap pasangan yang menjalankan rawatan tersebut.
Menurutnya, inisiatif tersebut diharap dapat memberi peluang lebih luas kepada mereka yang ingin menimang cahaya mata.
“Antara kriteria bagi melayakkan pasangan untuk mendapatkan rawatan tersebut adalah, pemohon mestilah warganegara Malaysia yang tinggal dan berasal dari Perak, pasangan yang didiagnos serta disarankan untuk rawatan IVF serta mengikut kriteria yang ditetapkan Metro IVF Ipoh.
“Selalunya pakej konvensional ini bernilai RM16,000 dan akan disubsidi sebanyak RM4,000 oleh kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Pusat Pakar Rawatan Kesuburan Metro IVF Ipoh dan Pelancaran Program Kumpulan Sokongan Impian Dua Garis Perak oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, di sini hari ini.
Hadir sama, Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.
Beliau berkata, setakat ini seramai 10 pasangan telah mendaftar untuk mendapatkan rawatan menerusi program tersebut.
“Di kesempatan ini, kita menyeru orang ramai khususnya rakyat Perak untuk datang ke sini bagi mendapatkan informasi.
“Tidak semestinya nak ambil rawatan, kita ada free consultation (perundingan percuma) juga untuk bulan ini dan program ini akan berakhir pada bulan Jun,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: