IPOH – Pengeluar produk tenusu dan minuman tempatan Muslim, Suffy Dairy Group Sdn Bhd sedang mengintai peluang menembusi pasaran eksport di Afrika, Arab Saudi dan Vietnam.
Pengerusi Eksekutifnya, Sofian Tajuddin berkata, syarikat berkenaan sedang bekerja rapat dengan rakan kongsinya bagi menembusi pasaran antarabangsa tersebut.
“Di Afrika, rakan kongsi kami sedang membangunkan sebuah syarikat baharu di sana yang bakal mengeksport produk kami untuk dijual dalam pasaran sana.
“Sementara itu, bagi pasaran Arab Saudi kita masih dalam proses dan untuk Vietnam sebelum ini kita sudah berjaya mengeksport produk ke sana namum disebabkan Covid-19 ia terhenti jadi kita akan mula semula,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Kontena Syarikat Suffy Dairy Group Sdn Bhd ke Kemboja di Jelapang, di sini, pada Isnin.

Hadir sama merasmikan majlis Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.
Menurut Sofian, buat masa ini, produk tenusu dan minuman keluaran syarikatnya itu berjaya memasuki pasaran Brunei, Kemboja dan Thailand dengan eksport ke Kemboja kini sebanyak enam kontena setahun.
Jelas beliau, pasaran eksport menyumbang 50 peratus kepada pendapatan syarikat buat masa ini dan jumlah berkenaan dijangka meningkat seiiring dengan penambahan eksport ke Kemboja.
“Untuk tahun ini kami menyasarkan jumlah ekport sebanyak enam kontena dalam masa setahun diikuti satu kontena setiap bulan bermula 2027.
“Kita juga menerima pelawaan untuk membuka kilang di Kemboja namun ia masih dalam perbincangan dan sekiranya eksport produk kami melebihi tiga kontena sebulan kita mungkin pertimbang untuk membuka kilang di sana,” katanya.


