GERIK – Karnival Sukan Rakyat@DUN Temengor menjadi medium penyatuan antara agensi kerajaan dan komuniti setempat dalam memastikan dasar kerajaan negeri dapat dilaksanakan sehingga ke peringkat akar umbi.
Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, penganjuran sukan rakyat yang melibatkan kedua-dua pihak itu bertujuan mewujudkan kefahaman bersama antara agensi pelaksana dan komuniti penerima dasar kerajaan.
Menurutnya, sukan dijadikan platform kerana sifatnya yang mampu menyatukan pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana santai dan inklusif.
“Kita memerlukan kerjasama dua pihak antara agensi yang menjadi pelaksana dan juga komuniti dan kampung yang akan menyambut baik setiap apa rancangan-rancangan yang ingin dijayakan. Jadi kefahaman antara dua-dua pihak perlu.
“Kaedahnya ialah kita tahu sukan menyatukan, maka saya mengambil inisiatif untuk mengadakan karnival ini yang menghimpunkan komuniti dan agensi di bawah satu platform iaitu sukan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penutup Karnival Sukan Rakyat @ DUN Temengor 2026 di Lapangan Terbang Gerik, di sini pada Sabtu.

Majlis penutup tersebut disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang turut dihadiri Pegawai Daerah Hulu Perak, Mohamad Fitri Hassan.
Saarani turut memulakan acara akhir pertandingan tarik tali serta menyampaikan hadiah kepada pemenang yang menyertai acara lain yang dipertandingkan pada karnival tersebut serta pemenang utama cabutan bertuah.
Dalam perkembangan sama, Salbiah berkata, atas dasar untuk memastikan setiap agenda terutamanya agenda Perak Sejahtera 2030 dapat dilaksanakan sehingga ke peringkat akar umbi, kerajaan negeri perlu memastikan komuniti mempunyai akses kepada agensi.
“Justeru, kita memerlukan satu platform selain kita buat Hari Bertemu Pelanggan dan sebagainya, kena ada satu platform supaya komuniti dengan agensi lebih dekat dan mereka (komuniti) tidak rasa jauh untuk menyampaikan setiap perkara yang ingin disampaikan
“Bila ada hubungan yang baik, setiap masalah-masalah dapat disampaikan secara terus. Itulah matlamat kita sebenarnya.
“Mungkin hanya nampak dalam sukan tetapi diterjemahkan dalam makna yang lebih besar iaitu memastikan setiap agenda yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan negeri tanpa ada masalah,” ujarnya.

Sementara itu, beliau memaklumkan sebanyak 24 rumah sukan menyertai karnival pada tahun ini dengan menggunakan nama ikan di Sungai Perak yang telah mendapat pengesahan daripada Jabatan Perikanan Negeri Perak.
“Pada tahun ini, terdapat 24 penyertaan rumah sukan menggunakan nama ikan-ikan yang terdapat di dalam Sungai Perak. Jabatan Perikanan Negeri turut mengesahkan nama-nama ikan tersebut,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
HBP terus jadi platform responsif kepada keperluan rakyat – Saarani


