TANJUNG MALIM – Atlet pencak silat negara yang juga alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Syafiqah Hamzah menghadiahkan pingat emas pertama kepada Malaysia dalam acara tunggal puteri pada Sukan SEA 2025 di Bangkok, Thailand.
Walaupun tidak diletakkan sebagai pilihan utama untuk meraih pingat emas, atlet berusia 31 tahun itu berjaya menumpaskan juara dunia dua kali dari Indonesia, Puspa Arumsari pada separuh akhir dengan keputusan 9.955 berbalas 9.930 serta membalas kekalahan pada final Sukan SEA Phnom Penh dua tahun lalu.
Pada aksi final yang berlangsung di Impact Arena, Muang Thong Thani, Nur Syafiqah mengumpul 9.960 mata untuk menewaskan wakil Brunei, Nur Wasiqah Aziemah Rosihan yang meraih 9.920 mata, sekali gus membuka tirai kutipan emas kem silat negara pada temasya kali ini.
Mengulas kejayaan itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, pencapaian Nur Syafiqah membuktikan graduan UPSI berupaya mencipta kecemerlangan di peringkat antarabangsa melalui disiplin, ketekunan dan sokongan ekosistem pendidikan yang holistik.
“UPSI amat berbangga dengan kejayaan Nur Syafiqah yang bukan sahaja mengharumkan nama negara, malah mengangkat reputasi universiti sebagai institusi yang melahirkan bakat seimbang dari segi akademik dan kokurikulum.

“Kejayaan itu turut mencerminkan keberkesanan pendekatan UPSI dalam memperkasa pembangunan atlet pelajar menerusi gabungan ilmu kejurulatihan, sains sukan dan nilai kepimpinan, selari dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan berdaya saing di peringkat global.
“Pencapaian ini diharap menjadi inspirasi kepada warga UPSI dan generasi muda untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan, selain menyumbang kepada pembangunan sukan negara secara mampan,” katanya dalam satu kenyataan.
Nur Syafiqah menamatkan pengajian Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak di UPSI sebelum melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Kejurulatihan pada tahun 2019.
Kejayaan beliau juga menamatkan penantian panjang Malaysia dalam acara tunggal puteri, dengan kali terakhir dimenangi pada Sukan SEA 2005 di Filipina. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


