SUKMA 2024: Atlet Perak sedia buru emas

IPOH – Atlet kontinjen Negeri Perak berada di fasa akhir latihan bagi persiapan untuk beraksi di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Menggenggam semangat ‘Silver to Gold’, mereka menzahirkan rasa teruja dan beriltizam untuk menghadiahkan pingat emas kepada kontinjen negeri melalui acara masing-masing.

Walau di usia muda dan bertubuh kecil, ia sedikit tidak menggugat semangat bagi dua beradik Muhammad Hikmy Qhalif Mohd Hafiz, 13 dan adiknya, Muhammad Hizmy Qhalif Mohd Hafiz, 12, dalam acara pelayaran.

SUKMA Sarawak Atlet negeri Perak sedia buru emas temasya sukan kontinjen
Atlet pelayaran SUKMA Negeri Perak, Muhammad Hikmy Qhalif Mohd Hafiz, 13, (kanan) dan Muhammad Hizmy Qhalif Mohd Hafiz, 12, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 06 OGOS 2024.

Muhammad Hikmy Qhalif berkata, walaupun teruja, perasaan gementar itu masih ada dalam dirinya tatkala ia merupakan pengalaman pertama mereka berdua beraksi di pentas SUKMA.

“Ada rasa gugup juga sebab beraksi dengan pencabar dari negeri-negeri lain. Akan tetapi saya berbangga kerana bawa nama Negeri Perak. Kami dua beradik akan lakukan bersungguh-sungguh dalam SUKMA ini,” katanya.

SUKMA Sarawak Atlet negeri Perak sedia buru emas temasya sukan kontinjen
Barisan atlet negeri Perak bersemangat pada Majlis Penyerahan Bendera Negeri Perak “Belang Tarung Tiga Warna” Kontinjen SUKMA Negeri Perak 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 04 OGOS 2024.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bendera Negeri Perak ‘Belang Tarung Tiga Warna’ Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini baru-baru ini.

Majlis dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan turut dihadiri Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri, Khairudin Abu Hanipah serta Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Ketua Kontinjen SUKMA Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

SUKMA Sarawak Atlet negeri Perak sedia buru emas temasya sukan kontinjen
Temubual atlet pelayaran SUKMA Negeri Perak, Muhammad Hikmy Qhalif Mohd Hafiz, 13, (kiri) dan Muhammad Hizmy Qhalif Mohd Hafiz, 12, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 06 OGOS 2024.

Muhammad Hikmy Qhalif dan Muhammad Hizmy Qhalif masing-masing belajar di Maahad Islahiah Addiniah di Batu 10 Lekir, Sitiawan dan Sekolah Rendah Islam Dar Al-Abrar Seri Manjung.

Menurut mereka, rutin latihan ketat yang menuntut mereka untuk menghadapi temasya sukan dwitahunan itu tidak langsung mengganggu mereka dalam memberi tumpuan kepada pelajaran.

“Semasa di bangku sekolah rendah, ibu mendorong kami untuk menceburi dalam sukan pelayaran ini. Dan selepas itu mula timbul minat dalam sukan berkenaan.

“Oleh itu, dalam penyertaan kami di SUKMA, ibu dan ayah banyak memberi sokongan serta motivasi kepada kami,” katanya.

SUKMA Sarawak Atlet negeri Perak sedia buru emas temasya sukan kontinjen
Barisan atlet negeri Perak pada Majlis Penyerahan Bendera Negeri Perak “Belang Tarung Tiga Warna” Kontinjen SUKMA Negeri Perak 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 04 OGOS 2024.

Sementara itu, atlet olahraga Farah Syakira Azifsafarin, 16, memberitahu persiapan untuk menghadapi temasya sukan itu baik walaupun masih berada dalam fasa pemulihan kecederaan.

Atlet muda yang semakin menyinar itu berkata, dia sebelum ini mengalami kecederaan ‘hamstring’ selepas beraksi di Kejohanan Remaja Asia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Kecederaan yang saya hadapi sedikit pun tidak mengganggu rutin latihan saya untuk ke SUKMA.

“Malah untuk kali ini, saya menyasarkan dua pingat emas untuk Negeri Perak (bagi acara 100 meter (m) berpagar dan lompat kijang),” katanya.

Atlet olahraga SUKMA Negeri Perak, Farah Syakira Azifsafarin, 16, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 06 OGOS 2024.

Selain itu Farah turut berkongsi, atlet lari berpagar wanita kelahiran Indonesia Emilia Nova merupakan idola serta inspirasinya dalam arena sukan.

Pada masa sama, atlet angkat berat, Muhammad Irfan Haziq Yusoff, 21, juga berkongsi harapan untuk menghadiahkan emas kepada kontinjen negeri pada temasya SUKMA.

Anak ketiga daripada lima beradik itu memberitahu, dia ingin memperbaharui pencapaian selepas menduduki tangga kelima dalam kategori 73 kilogram pada musim lalu.

Atlet angkat berat SUKMA Negeri Perak, Muhammad Irfan Haziq Yusoff, 21, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 06 OGOS 2024.

“Pada SUKMA kali ini, saya bertanding dalam kategori 89 kilogram dan semestinya saya akan buat ‘comeback’.

“Sebagai anak jati Tambun, saya bangga mewakili Perak dan akan pastikan dapat lakukan yang terbaik dalam usaha memperoleh pingat emas,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

SUKMA: Perak pertaruh 777 atlet, tawar RM5,000 penyumbang emas

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI