SUKMA ke-21: Pencapaian terbaik Perak sepanjang 14 tahun

Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-21 yang diadakan di Sarawak melabuhkan tirainya 24 Ogos lalu dengan kontinjen Perak berjaya memenuhi sasaran 35 pingat emas dan berada di tangga ketujuh.

Malah pencapaian 35 pingat emas itu merupakan yang terbaik sepanjang 14 tahun sejak 2010 kecuali pada 2018 di mana Perak mengumpul 39 emas semasa menjadi tuan rumah temasya tersebut.

Secara keseluruhannya kontinjen Perak berjaya membawa pulang 130 pingat pada SUKMA kali ini dengan 35 emas, 38 perak dan 57 gangsa.

Atlet angkat berat wanita, Qistina Qharisya Suffia Mohd Muzani menjadi satu-satunya atlet Belang Tarung Tiga Warna yang berjaya memecah rekod kebangsaan.

Foto, IHSAN MSN PERAK

Qistina, 19, berjaya memecahkan tiga rekod kebangsaan kategori 45 kilogram (kg) wanita bagi acara snatch dengan angkatan seberat 65kg, clean and jerk (79kg) dan mendominasi podium dengan angkatan keseluruhan 144kg.

Tidak ketinggalan pasukan silambam Perak turut membuat kejutan pada temasya SUKMA ke-21 apabila menyapu enam emas, dua perak dan dua gangsa.

Kejayaan itu sekali gus membolehkan pasukan berkenaan menerima gelaran ‘maaveeran’ silambam yang bermaksud pahlawan terhebat dalam bahasa Tamil.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah menyifatkan kejayaan kontinjen Belang Tarung Tiga Warna membawa pulang 35 emas pada edisi SUKMA ke-21 ini sebagai peningkatan terbaik memandangkan pada temasya ke-20 Perak hanya membawa pulang 28 emas, 27 perak dan 47 gangsa

Kontinjen Perak semasa upacara pembukaan SUKMA ke-21.
Foto, IHSAN MSN PERAK

Menurut Khairudin, meskipun gagal mencapai sasaran tempat kelima dengan berada di tangga ketujuh ia sudah memadai memperbaiki keputusan edisi lalu di tempat kelapan.

Ujar beliau, kejayaan mengejut serta kekalahan tidak diduga merupakan perkara yang perlu diberi perhatian dan sesi bedah siasat akan dijalankan bagi menambah baik serta memperbaiki kelemahan yang ada.

“Ada beberapa sukan kita sasarkan tidak memenuhi sasaran tetapi ada juga sukan yang kita tidak letak harapan tetapi memberi kejutan kepada kita dan inilah dipanggil semak dan imbang.

“Kalau kita harapkan yang disasar sahaja mesti kita tidak akan capai 35 emas,” katanya kepada Malaysia Gazette (MG) Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani diiringi Khairudin bergambar bersama pasukan Taekwando pada SUKMA ke-21. Foto, IHSAN PEJABAT MB PERAK.

Khairudin berkata, sebagai contoh Perak menyasarkan dua emas daripada pasukan silambam namun pasukan berkenaan berjaya merangkul enam.

Tambahnya, begitu juga muay thai di mana sasaran diletak dua emas namun pasukan berkenaan berjaya membawa pulang empat emas dan kejayaan ini menunjukkan peningkatan sukan berkenaan.

Bagaimanapun, Khairudin berkata, beberapa sukan perlu dilakukan bedah siasat secara terperinci bagi mengenal pasti punca berlakunya kemerosotan dari segi pingat berbanding SUKMA sebelum-sebelum ini.

“Kita akan buat bedah siasat bersama Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak bagi memastikan kita bersedia awal untuk SUKMA ke-22 pada 2026 di Selangor,” katanya.

Khairudin bergambar bersama pasukan golf wanita yang berjaya merangkul pingat emas acara golf berpasukan wanita SUKMA ke-21. Foto, FB KHAIRUDIN ABU HANIPAH.

Khairudin turut berkata kerjasama dan komitmen yang ditunjukkan semua pihak terlibat terutamanya MSN dalam membantu atlet merupakan antara faktor utama Perak berjaya menepati sasaran ditetapkan.

“Kita mendapat kerjasama yang cukup jitu kalangan atlet dan pengurusan terlibat termasuk agensi dan jabatan dan kerana itu kita berjaya capai 35 emas,” katanya.

Untuk rekod SUKMA edisi ke-21 di Sarawak dianjurkan di sembilan bahagian negeri itu membabitkan 488 acara dalam 37 jenis sukan yang terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 acara campuran. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

SUKMA 2024: Perak capai sasaran 35 emas, tempat ketujuh

MGPerak: Perak Puas Hati Capai Sasaran 35 Emas Sukma 2024, Perbaiki Kelemahan

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI