Sultan Nazrin berangkat ke Program Melabuh Tukun Pulau Sembilan

LUMUT – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Program Melabuh Tukun x Konservasi Pulau Sembilan 2025 di Taman Negeri Pulau Sembilan.

Turut berangkat Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama mengiringi keberangkatan tiba baginda Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Baginda berdua berkenan menyaksikan pelabuhan tukun tiruan tersebut oleh pasukan Jabatan Perikanan Negeri Perak di Pulau Rumbia, Kepulauan Sembilan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Program Melabuh Tukun x Konservasi Pulau Sembilan 2025 di Taman Negeri Pulau Sembilan. Foto, Ihsan Pejabat Menteri Besar Perak.

Sebanyak 12 tukun tiruan diturunkan yang turut berfungsi sebagai penghalang pukat tunda di kepulauan berkenaan.

Tukun tiruan ialah struktur buatan manusia yang diletakkan di dasar laut atau perairan bertujuan untuk menarik hidupan marin, memulihkan ekosistem marin dan menyokong aktiviti perikanan dan pelancongan seperti memancing rekreasi dan selam skuba.

Dari 2014 sehingga 2024, sebanyak 81 tukun tiruan telah dilabuhkan oleh Jabatan Perikanan Negeri Perak di Pulau Pangkor, Perairan Rungkup dan Kepulauan Sembilan.

Di Kepulauan Sembilan, tukun-tukun yang dilabuhkan mempunyai tujuan tambahan iaitu menghalang aktiviti pukat tunda di kawasan yang tidak dibenarkan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Program Melabuh Tukun x Konservasi Pulau Sembilan 2025 di Taman Negeri Pulau Sembilan. Foto, Ihsan Pejabat Menteri Besar Perak.

Turut diadakan aktiviti pembersihan pukat hantu bermula semalam yang merupakan inisiatif konservasi utama dianjurkan Perbadanan Taman Negeri Perak melibatkan penyelam daripada Tentera Laut DiRaja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan badan bukan kerajaan (NGO) Nature and Oceanography Advocate Society (NOAS).

Dianggarkan seberat lima tan pukat hantu berjaya dibersihkan di sekitar kepulauan itu sepanjang tahun 2022 sehingga kini hasil usaha pelbagai pihak dan agensi.

Sementara itu, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan melawat reruai yang mempamerkan hasil pengumpulan pukat hantu di kepulauan berkenaan.

Baginda berdua kemudian menyempurnakan penanaman pokok ambong-ambong bagi menggalakkan pendaratan penyu di Taman Negeri Pulau Sembilan. -BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI