Sultan Nazrin berangkat ke Program Semarak Kesetiaan Raja dan Negara

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Program Menyemai Semangat Kesetiaan Kepada Raja dan Negara sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak 2025 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Sabtu.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta barisan Exco Kerajaan Perak dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Pada majlis itu, baginda berkenan menyampaikan hadiah juara pertandingan pidato Bahasa Melayu sekolah menengah atas yang dimenangi Ifwat Arrafi Mohd Amin dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abdul Razak, Bagan Datuk.

Manakala, Sandra Ann Anthony dari SMK St Bernadette’s Convent, Batu Gajah pula mengungguli pertandingan pidato Bahasa Inggeris sekolah menengah atas.

Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan hadiah bagi pemenang pertandingan bicara berirama, choral speaking dan koir bagi peringkat sekolah rendah, menengah rendah serta menengah atas.

Tuanku Zara turut berkenan menyampaikan hadiah bagi pemenang pertandingan menulis esei Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, mengarang sajak dan melukis poster bagi kategori sama.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Safuan Raba’ai dalam ucapannya berkata, program ini bukan saja dapat mencungkil bakat murid malah menjadi wadah dalam membina jati diri, menanam nilai kesetiaan kepada Raja dan negara serta memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan murid.

Menurutnya, setiap aktiviti yang disertai murid menjadi kelas kehidupan untuk murid menghayati prinsip Sistem Raja Berperlembagaan, memahami sejarahnya dan mempraktikkan nilai hormat, perpaduan serta mengamalkan nilai murni dalam memelihara kedaulatan negara.

“Usaha ini sejajar dengan aspirasi membentuk generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah berakhlak mulia, berfikiran kritis, berjiwa patriotik, menghargai warisan negara dan mampu menjadi pemimpin berwibawa pada masa hadapan,” katanya.

Bermula tahun 2015, program ini diperkenalkan dengan dua pertandingan sahaja iaitu, pertandingan menulis esei dan pidato.

Bilangan acara yang dipertandingkan semakin bertambah setiap tahun dan pada 2025 jumlah penyertaan adalah seramai 181,223 orang murid melibatkan peringkat sekolah, daerah dan juga negeri dalam 19 acara yang dipertandingkan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sultan Perak berangkat ke sambutan Hari Pahlawan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI