IPOH – Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Jubli Emas Hospital Fatimah di sini, pada Sabtu.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Keberangkatan baginda diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, serta barisan Exco Kerajaan Negeri.
Majlis dimulakan dengan sembah ucapan oleh Pengarah Perubatan Hospital Fatimah, Dr Liaw Kok Toon diikuti Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Datuk Michael Cheah.
Kok Toon dalam sembah ucapan beliau berkata, secara amnya, Hospital Fatimah menyediakan hampir 30 perkhidmatan kepakaran dan sub-kepakaran kesihatan serta pelbagai perkhimatan pembedahan dan kemudahan perawatan kesihatan yang lain.
Beliau berkata, hospital tersebut mempunyai sebanyak 236 buah katil dengan kekuatan staf daripada kesemua kategori seramai 641 orang dan mempunyai pelbagai aset perubatan terkini.
“Semua rakyat mempunyai kesaksamaan dalam mendapat rawatan kesihatan di hospital ini kerana ianya ditubuh berasaskan konsep membantu rakyat mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang komprehensif.
“Patik merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua Ahli Lembaga Pengarah Hospital Fatimah yang sentiasa membantu dan menyokong kami dalam menaiktaraf infrastruktur hospital ini.
“Kami juga besyukur kerana negara kita juga adalah antara negara yang menyediakan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyatnya,” katanya.
Jelasnya lagi, seiring dengan perkembangan perkhidmatan perubatan, hospital berkenaan mengambil maklum bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia juga menyediakan banyak kemudahan perkhidmatan kesihatan yang terbaik dan bertaraf antarbangsa.
“Hospital Fatimah telah mengambil kesempatan untuk menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam memberi perkhidmatan kesihatan kepda lebih ramai rakyat melalui program outsourcing services,” katanya.
Hospital Fatimah dirasmikan oleh Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah pada 1974 dan berkembang sejak penubuhannya dengan menawarkan pelbagai jenis rawatan dan penjagaan perubatan. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
MGPerak: Sultan Nazrin, Tuanku Zara Berangkat Ke Sambutan Deepavali Perak