IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru Raya di sini pada Khamis.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Berangkat sama, Raja Muda Perak Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah; Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Baginda diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin serta barisan Exco kerajaan negeri.
Kira-kira 2,000 hadirin diperdengarkan dengan alunan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan berselawat beramai-ramai pada sambutan bertemakan ‘Mendepani Cabaran Merealisasikan Wawasan’,
Baginda kemudiannya berkenan menyampaikan Anugerah Keluarga Ammar Bin Yasir (Tokoh Keluarga Mithali) kepada pesara kerajaan, Rohani Tandaik, 65.
Ibu tunggal kepada lapan anak itu menerima kurniaan wang tunai RM10,000 bersama hadiah iringan tajaan menunaikan ibadah umrah bernilai RM9,000, plak dan sijil penghargaan.
Sementara itu, Anugerah Ibnu Abbas (Tokoh Pendakwah) diberikan kepada Dr Mohd Fahmi Abdul Khir, 50, manakala Anugerah Zaid Bin Thabit (Tokoh Pengamal Media) pula diberikan kepada Ketua Pengarah Institut Penerangan dan Penyiaran Tun Abdul Razak (IPPTAR), Roslan Ariffin, 58.
Seterusnya, Anugerah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) diberikan kepada Persatuan India Muslim Perak.
Bagi Anugerah Pegawai Masjid (Tokoh Imam) diberikan kepada Pengetua Maahad Al-Islah, Agus Lokman Sulam, 56; manakala Anugerah Tokoh Bilal diterima Mashudi Bakir, 62, yang bertugas di Masjid Slim River manakala Tokoh Siak diberikan kepada Mua’ai Ribut, 71, yang berkhidmat di Masjid Jamek Jalan Menderang, Sungkai.
Masing-masing dikurniakan RM5,000, plak dan sijil penghargaan.- MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Nazrin berangkat ke Sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Perak