Sultan Nazrin berkenan berangkat ke Eksesais Lembing Sakti 2025

LUMUT – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat menghadiri Eksesais LEMBING SAKTI 2025 berlangsung di Lapang Sasar Tanjung Hantu, di sini, pada Isnin.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Pada majlis berkenaan, baginda berdua diberikan taklimat keselamatan diikuti sesi bergembar serta demonstrasi tembakan roket secara langsung.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Muhammad Hafizuddeain Jantan serta Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D Kagan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan bergambar ketika berangkat menyaksikan demonstrasi tembakan roket pada Eksesais LEMBING SAKTI 2025 yang berlangsung di Lapang Sasar Tanjung Hantu, Lumut. Foto ABDULLAH YUSOF, 28 JULAI 2025

Tentera Darat Malaysia memaklumkan keberangkatan baginda berdua mencerminkan sokongan padu institusi diraja terhadap kesiapsiagaan pertahanan negara.

“Eksesais LEMBING SAKTI 2025 membuktikan keupayaan taktikal serta komitmen berterusan Angkatan Tentera Malaysia dalam memperkukuh kesiapsiagaan tempur dan keupayaan pertahanan negara.

“Inisiatif ini juga selari dengan usaha memperkukuh jaringan kerjasama pertahanan serantau melalui penglibatan negara sahabat, dalam menjamin kestabilan serta keselamatan strategik di rantau ini, ” menurut kenyataan itu.

Antara objektif utama eksesais tersebut adalah menguji kesiagaan tempur dan keberkesanan sistem senjata artileri roket serta meningkatkan keupayaan kerjasama antara agensi dalam operasi gabungan darat-laut-udara.

Pasukan Briged Artileri Roket Tentera Darat Malaysia melaksanakan latihan tembakan Sistem Roket Lancar Berganda ASTROS pada Eksesais LEMBING SAKTI 2025 di Lapang Sasar Tanjung Hantu, Lumut. Foto ABDULLAH YUSOF, 28 JULAI 2025

Eksesais tersebut juga berperanan sebagai platform pendedahan terhadap taktik dan prosedur terkini dalam penggunaan High Mobility Artillery Rocket System (HIMARS) di samping pelaksanaan Complete Round Proof (CRP) oleh 40 Markas Kejuruteraan Peluru Kor Ordnans Diraja (MKP KOD) bersama pihak Institut Pendidikan Sains Dan Teknologi Pertahanan (STRIDE).

Eksesais tersebut melibatkan penggunaan peluru berpandu SS-30 dan SS-40 oleh pasukan Briged Artileri Roket, serta pelibatan sistem persenjataan canggih seperti Artillery Saturation Rocket System (ASTROS), HIMARS, Artillery Hunting Radar (ARTHUR), Unmanned Aircraft System (FLYEYE) dan turut melibatkan KD MAHAWANGSA.

Ia turut menyaksikan kerjasama strategik antara Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Gerakan Marin serta pelbagai agensi awam lain. -BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI