KUALA KANGSAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-17 di Dewan Jubli Perak di sini, pada Sabtu.
Keberangkatan baginda diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Naib Canselor USAS, Profesor Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof.
Turut hadir pada istiadat konvokesyen ke-16 itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah.
Istiadat dimulakan dengan bacaan suci ayat-ayat Al-Quran, diikuti perisytiharan pembukaan dan sembah ucapan Wan Sabri.
Istiadat Konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 1,798 graduan merangkumi ijazah doktor falsafah (PhD) seramai tujuh orang, ijazah sarjana (36), diploma pascasiswazah (14), ijazah sarjana muda (768) dan diploma (973).
Dalam istiadat itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan Anugerah Tuanku Canselor kepada penerima Siti Nurzulaikha Zulkifli, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer.
Turut disampaikan, Anugerah Menteri Besar Perak kepada Nur Masitah Awang Kecil (Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab) dan Anugerah Naib Canselor USAS kepada Humaira Mohd Hussin (Diploma Bahasa Arab Dengan Pendidikan).
Istiadat konvokesyan tahun ini menyaksikan empat graduan menerima anugerah terbaik Fakulti Pengajian Islam dan Sains Sosial serta Fakulti Pengurusan dan Teknologi Maklumat.
Mereka adalah Sakinah Dhaniah Mohamad Tarmizi (Ijazah Sarjana Muda Syariah Gunaan); Nur Zulaikha Zulkipli (Diploma Kaunseling); Shahirah Shamsudin (Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan) dan Nur Aquilla Annisya Nor Azmi (Diploma Perakaunan).
Sementara itu, Wan Sabri dalam ucapan beliau berkata, 2024 merupakan tahun Usas menyambut Jubli Perak, 25 tahun penubuhannya dan telah melahirkan 14.045 graduan sejak konvokesyen pertama pada 2002 sehingga istiadat kali ini.
Menurut beliau, pelbagai kejayaan telah dicapai USAS sejak penubuhannya pada 1999 sehingga kini dengan semua warganya berganding bahu menuju matlamat yang sama.
“Ketinggian budi pekerti perlu seiring dengan ketinggian ilmu, malah jenis ilmu yang paling tinggi darjatnya ialah ilmu yang menghaluskan budi pekerti. Maka menjadi tanggungjawab universiti untuk mentarbiah nilai-nilai ini.
“Universiti yang merupakan gapura tarbiah dan sanggar islah yang menginsankan mahasiswa agar menjadi manusia budiman yang bukan hanya berminda geliga, tetapi juga berperibadi mulia.
“Manusia budiman ialah manusia yang hidup berpandukan ilmu, berpedomankan wahyu, dan tidak bertuankan nafsu dan tanpa asuhan budı yang sempurna, akan lahir generasi yang tempang dan tidak seimbang dari segi watak dan akhlak,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
MGPerak : Sultan Nazrin Berkenan Berangkat Ke Istiadat Konvokesyen USAS ke-16