Sultan Nazrin berkenan rasmi bangunan Mahkamah Syariah Taiping

TAIPING -Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan bangunan Mahkamah Syariah Taiping di sini, pada Isnin.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama mengiringi baginda Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta barisan Exco Kerajaan Perak.

Majlis dimulakan dengan lagu kebesaran negeri Perak diikuti bacaan ayat al-Quran dan doa sebelum Sultan Nazrin menyampaikan titah diraja sekaligus menyempurnakan lafaz perasmian dan menandatangani plak perasmian mahkamah tersebut di atas pentas utama.

Sementara itu, Saarani dalam ucapannya memaklumkan bangunan mahkamah tersebut adalah salah satu projek utama di bawah program pembangunan Unit Perancang Ekonomi Negeri Perak (UPEN) dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) yabg menjadi simbol komitmen jitu pelbagai pihak dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kehakiman syariah di negeri ini.

Menurutnya, projek bernilai RM18.5 juta itu dibina di atas tapak seluas 1.01 hektar mula dibangunkan pada 11 November 2015 dan sepenuhnya pada 15 Disember 2020 serta mula beroperasi secara rasmi sejak 1 Mac 2021.

“Bangunan Mahkamah Syariah ini adalah yang kelapan dimiliki dan ditadbir sepenuhnya oleh Jabatan Kehakiman Syariah Perak yang dilihat sebagai pelengkap kepada rangkaian mahkamah syariah di daerah-daerah utama termasuk Ipoh, Tapah, Seri Manjung, Seri Iskandar, Parit Buntar, Kuala Kangsar dan Gerik.

“Pembinaan Mahkamah Syariah di daerah-daerah utama adalah langkah berterusan kerajaan untuk mendekatkan lagi perkhidmatan kehakiman syariah kepada rakyat dan secara tidak langsung kerajaan dapat menyantuni rakyat yang memerlukan perkhidmatan perundangan syariah secara lebih cekap dan pantas,” katanya sewaktu menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.

Mahkamah Syariah perlu dilengkapi kemudahan teknologi terkini – Sultan Nazrin
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Mahkamah Syariah Taiping, pada Isnin.
Foto: Aniq Nabilafiq Anuar

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata, bagi memastikan rakyat mendapat akses yang lebih mudah terhadap keadilan syariah, setiap bangunan Mahkamah Syariah di Perak direka bentuk dengan teliti termasuklah menempatkan kedua-dua bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah dan Mahkamah Tinggi Syariah di dalam satu bumbung.

“Pendekatan inovatif ini bukan sahaja memudahkan urusan rakyat, malah mengoptimumkan penggunaan sumber dan meningkatkan kecekapan pentadbiran kehakiman syariah selain penyediaan kemudahan lengkap seperti pejabat pendaftaran, ruang pejabat, bilik runding cara sulh, bilik sebutan dan dewan bicara untuk Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

“Ini akan memberi kemudahan kepada penduduk di daerah Larut, Matang dan Selama termasuklah di kawasan seperti Bukit Gantang, Changkat Jering, Trong, Kamunting, Kuala Sepetang, Pokok Assam, Batu Kurau, Selama, Aulong, Kubu Gajah dan kawasan sekitarnya,” ujarnya.

Katanya, selaras dengan Dasar Pendigitalan Sektor Awam Negeri Perak, Jabatan Kehakiman Syariah Perak telah memperkenalkan kaedah pembayaran tanpa tunai di semua premis Mahkamah Syariah di negeri ini bermula pada tahun 2023 bagi memudahkan urusan pembayaran rakyat selain meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan jabatan.

“Menyedari usaha mengangkat martabat perundangan dan kehakiman Syariah memerlukan reformasi dan transformasi perkhidmatan, kerajaan negeri sedang giat melaksanakan Pelan Strategik Jabatan Kehakiman Syariah Perak 2023-2027 yang memberi tumpuan khusus kepada pembangunan infrastruktur, selain penambahbaikan sistem perkhidmatan secara menyeluruh.

“Salah satu inisiatif utama yang digariskan dalam Pelan Strategik Jabatan Kehakiman Syariah Perak ialah cadangan pembinaan bangunan-bangunan Mahkamah Syariah baharu di Teluk Intan, Muallim, dan daerah baharu Bagan Datuk,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin titah Mahkamah Syariah di Perak dilengkapi teknologi terkini

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI