IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Negeri Perak 2025 di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru di sini pada Khamis.
Mengiringi keberangkatan baginda, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini serta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim.
Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebesaran Negeri Perak diikuti alunan bacaan ayat suci al-Quran disusuli bacaan doa.
Pada majlis itu, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan 27 anugerah kecemerlangan membabitkan 93 penerima.

Anugerah Tokoh Guru Perak 2025 disampaikan kepada bekas Pengetua Sekolah Menengah Raja Dr Nazrin Shah, Kampung Gajah, Ahmad Tazally Mohamad Zain, 61.
Beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Majlis Pengetua Malaysia berjaya meletakkan sekolahnya dalam kelompok 10 sekolah terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 peringkat negeri Perak.

Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan Anugerah Hafiz Muda kepada 24 penerima serta Anugerah Jasamu Dikenang kepada penerima lelaki dan wanita.
Baginda juga turut berkenan menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan kepada pelajar terbaik SPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2024.
Majlis diakhiri dengan persembahan nasyid berbentuk selawat daripada Tahfiz Darul Ridzuan Tambun. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
RM3.96 juta dana bantuan makanan percuma TCS untuk 27,432 pelajar


