KUALA KANGSAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima bayaran zakat berjumlah RM3,250,676 daripada lima syarikat korporat kepada Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) di Istana Iskandariah pada Sabtu.
Penyerahan zakat perniagaan didahului Boustead Plantations Berhad diwakili Ketua Pegawai Kewangan, Nina Wirasatria Md Husni berjumlah RM250,676.
Ia disusuli, penyerahan zakat pendapatan individu oleh Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal diwakili oleh Syed Amir Nidzamuddin berjumlah
RM2.4 juta.
Baginda turut berkenan menerima bayaran zakat daripada Empayar Indera Sdn. Bhd. yang diwakili Pengurus Besarnya, Datuk Hasrin Abdul Rahman berjumlah RM200,000.
Seterusnya Perbadanan Aset Keretapi diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Azhar Ahmad berjumlah RM200,000.00.
Penyerahan zakat terakhir oleh Public Islamic Bank Berhad diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Syamsul Azuan Ahmad Fauzi dengan jumlah RM200,000.00.
Majlis penyerahan zakat berkenaan seterusnya disusuli dengan majlis iftar bersama kehadiran Media, NGO, Sektor Korporat, Swasta, Syarikat Berkaitan Kerajaan dan Belia. -MG Perak