IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima zakat perniagaan berjumlah RM18.4 juta daripada 11 syarikat korporat kepada Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR) dalam satu majlis di Royal Perak Golf Club, dekat sini, pada Khamis.
Affin Islamic Bank Berhad yang diwakili Ketua Jabatan Syariah, Syed Muhammad Syed Mohamad Nasir mendahului senarai syarikat pembayar zakat dengan menyerahkan RM250,000.
Ia disusuli dengan Agro Bank yang diwakili oleh Pengerusi Jawatankuasa Syariah Kumpulan Agrobank, Tuan Wan Rumaizi Wan Husin@Abdul Aziz dengan zakat berjumlah RM174,598, manakala Bank Islam Malaysia Berhad melalui Ketua Pegawai Kewangan Sosial Kumpulan, Mohd Nazri Chik menyerahkan zakat berjumlah RM879,000.
Sumbangan zakat diteruskan dengan Bank Muamalat Malaysia Berhad melalui Ketua Divisyen Shariah Dr. Muhammad Izuwan Mahyudin dengan jumlah RM373,322 serta Bank Rakyat menerusi Ahli Lembaga Pengarah, Tunku Datuk Ahmad Burhanuddin Tunku Datuk Seri Adnan dengan jumlah RM1.35 juta.
Bank Simpanan Nasional yang diwakili Ketua Eksekutif, Datuk Jay Khairil Jeremy Abdullah menyerahkan zakat dengan jumlah RM136,000, sementara Lembaga Air Perak menerusi Pengurus Besar, Lokman Abd Rahim menyerahkan zakat sebanyak RM4.51 juta.

Di samping itu, Maybank Islamic Berhad melalui Ketua Pegawai Eksekutif, Mohamad Yasin Abdullah menyerahkan zakat dengan jumlah RM1.20 juta, manakala Perbadanan Ekonomi Islam Perak Sdn. Bhd menerusi Pegawai Eksekutif Kumpulan, Amirul Hakim Abdullah menyampaikan zakat pada jumlah RM1.42 juta
Seterusnya, Public Islamic Bank Berhad yang wakili Ketua Bahagian Shariah, Mohd Supian Mat Nan menyampaikan zakat pada jumlah RM300,000 serta Tenaga Nasional Berhad yang diwakili Presiden Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk IR. Megat Jalaluddin Megat Hassan berjumlah RM7.81 juta.
Sultan Nazrin kemudiannya berkenan menyerahkan kesemua zakat perniagaan berkenaan kepada Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK), Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
Hadir sama ke majlis, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; serta Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


