KUALA LUMPUR – Buku Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Globalization: Perak’s Rise, Relative Decline, and Regeneration, yang dilancarkan oleh baginda hari ini, mengandungi beberapa cadangan mengenai langkah yang boleh dilakukan Perak untuk terus merangsang ekonomi dan meningkatkan kebajikan penduduk di negeri itu.
Menerusi buku berkulit keras setebal 566 muka surat itu, Sultan Nazrin mengemukakan cadangan berkenaan, susulan analisis mendalam baginda selama dua abad tentang perubahan impak globalisasi baik positif mahupun negatif terhadap Perak serta bandar dan komunitinya.
“Saya membandingkan negeri ini dengan wilayah lain yang mempunyai banyak sumber semula jadi termasuk Cornwall dan Sheffield di United Kingdom, serta Pittsburgh dan Scranton di Amerika Syarikat.
“Semua tempat pada mulanya makmur, namun kehilangan daya saing, kemudian terjejas oleh kuasa globalisasi sama yang sebelum ini memberikan kebaikan kepada mereka. Walaupun Sheffield, Pittsburgh dan Cornwall telah menemukan cara baharu untuk berkembang maju, namun Scranton masih belum pulih.
“Pertumbuhan awal Perak didorong oleh bijih timah dengan aliran modal, teknologi dan idea baharu dari Cornwall pada dekad pertama zaman kolonial. Menjelang akhir abad ke-19, pengeluaran bijih timah di Perak telah melebihi Cornwall,” menurut Sultan Nazrin dalam Titah Diraja pada majlis pelancaran buku berkenaan.
Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim turut berangkat pada majlis itu. Yang turut hadir ialah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj.
Sultan Nazrin bertitah kemakmuran Perak berterusan, dipacu oleh ledakan getah yang luar biasa, didorong oleh pengeluaran kereta besar-besaran dan rakyatnya menikmati taraf hidup yang semakin meningkat.
Baginda bertitah bandar dan penempatan baharu telah diwujudkan, sekolah dan hospital dibina, dan infrastruktur Perak adalah antara yang paling maju di Semenanjung.
“Selepas kemerdekaan, Perak mengalami keadaan yang kurang memberangsangkan. Masih bergantung pada eksport bijih timah dan getah, ia terdedah pada perubahan mendadak dalam permintaan global serta saingan sumber bekalan.
“Ia mula ketinggalan dari negeri-negeri di Malaysia yang lebih mendapat manfaat daripada globalisasi ekonomi yang mulai berlaku.
“Apa yang dipanggil oleh ahli ekonomi sebagai ‘aglomerasi ekonomi’, memihak kepada lokasi yang beranjak dahulu dalam pembangunan industri, mempunyai kepadatan ekonomi lebih besar dan memiliki rangkaian pengangkutan lebih baik dengan dunia luar, semua kawasan, yang Perak kekurangan dari segi itu,” titah baginda.
Baginda bertitah golongan belia yang berkemahiran di negeri ini mula berhijrah ke negeri jiran yang mempunyai lebih banyak peluang dan pendapatan lebih tinggi.
Kejatuhan bijih timah pada 1985 menurut Sultan Nazrin, menyaksikan harga logam itu merosot separuh dalam beberapa tahun sahaja, membawa kehancuran kepada masyarakat Perak dan kehilangan pekerjaan besar-besaran serta penutupan lombong-lombong yang mempercepat aliran keluar penduduk.
“Bandar bijih timah di Perak kehilangan kemahiran dan kebijaksanaan golongan yang bekerja di lombong dan industri berkaitan. Menjelang awal 1990-an, industri bijih timah dan getah – yang menjadi asas pembinaan negeri moden – semakin berkurangan.
“Sejak itu, Perak mempelbagaikan ekonominya dalam bidang pembuatan dan perkhidmatan, dan memodenkan sektor pertanian untuk membina semula asas ekonomi negeri itu. Usaha yang besar ditumpukan pada proses ini dan terdapat banyak kisah kejayaan dalam semua sektor berkenaan,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah walaupun sejarah Perak menunjukkan beberapa kelemahan berkaitan pertumbuhan yang dipacu eksport, namun ia juga menonjolkan potensi peningkatan besar apabila sumber asli bersesuaian dengan permintaan global untuk mewujudkan kelebihan perbandingan.
Baginda bertitah tidak dinafikan Perak terjejas apabila corak perdagangan global berubah, namun ia juga mendapat manfaat yang besar.
Titah Sultan Nazrin, dengan Visi Baharu, Perak diharapkan dapat memandang ke hadapan kemakmuran yang berpanjangan.
“Ada antara anda yang mungkin bertanyakan mengapa saya menulis buku mengenai globalisasi dan mengapa sekarang? Idea ini tercetus sebahagiannya semasa kajian bagi buku-buku saya sebelum ini, kerana sifat unik pengalaman Perak begitu jelas.
“Saya ingin mengkaji lebih lanjut, dengan melihat secara mendalam terhadap pembangunan sejarah negeri ini, dan kaedah ia dibentuk oleh proses globalisasi,” titah bagida.
Sultan Nazrin bertitah dengan mengambil perspektif jangka panjang, baginda merasakan bahawa pandangan lebih mendalam dapat diperoleh mengenai situasi semasa Perak dan pelbagai cabaran yang bakal dihadapi, terutamanya dalam tempoh ketidaktentuan global yang semakin memuncak ini.
Dalam pada itu, Sultan Nazrin menzahirkan penghargaan kepada Profesor Tim Harper kerana datang ke Malaysia untuk menyertai pelancaran buku berkenaan dan pasukan daripada Oxford University Press atas kerja cemerlang dalam menerbitkan buku itu.
Buku ini merupakan hasil tulisan baginda yang ketiga. Buku pertama bertajuk Charting the Economy: Early 20th Century Malaya and Contemporary Malaysian diterbitkan pada Januari 2017, manakala yang kedua berjudul Striving for Inclusive Development: From Pangkor to a Modern Malaysian State diterbitkan pada Julai 2019. -BERNAMA
[…] Sultan Nazrin lancar buku Kesan Globalisasi Terhadap Pembangunan Perak Dalam Dua Abad […]