Sultan Nazrin lancar ZAPAR, tingkat kecekapan tadbir urus zakat di Perak

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melancarkan Zakat Perak Al-Ridzuan (ZAPAR) yang merupakan inisiatif strategik untuk meningkatkan kecekapan, ketelusan dan akauntabiliti organisasi zakat di negeri ini.

Titah baginda, penubuhan ZAPAR adalah suatu langkah dinamik untuk memungkinkan perkhidmatan kutipan zakat yang lebih berkualiti dan responsif dapat diberikan kepada pelanggan dan rakyat.

“Pewujudan ZAPAR insyaAllah akan memberi manfaat besar kepada golongan asnaf dan para muzakki (pembayar zakat).

“Keutamaan tata kelola (tadbir urus) yang cekap dan teratur serta berorientasi digital yang diterapkan di ZAPAR akan menyuburkan peranan institusi Islam seiring arus kontemporari,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa menyempurnakan Majlis Pelancaran ZAPAR di Pusat Zakat Perak Al-Ridzuan di sini pada Khamis.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Sultan Nazrin lancar ZAPAR, tingkat kecekapan tadbir urus zakat di Perak
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menandatangani plak perasmian pada Majlis Pelancaran Zakat Perak Al-Ridzuan Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) di Pusat Zakat Perak Al-Ridzuan, Ipoh, pada Khamis. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 26 JUN 2025.

Dalam perkembangan sama, Sultan Nazrin bertitah, melalui platform digital, kutipan zakat kini dapat dilakukan dengan lebih mudah dan pantas.

“Kemajuan teknologi juga membantu mempercepatkan proses agihan secara lebih menetapi sasaran dengan pengumpulan maklumat yang lebih tepat dan tersusun.

“Kini setiap transaksi yang berlaku mudah dijejak oleh pembayar dan penerima, sekali gus meningkatkan ketelusan integriti institusi,” titah baginda.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh dalam kenyataan media memaklumkan, ZAPAR adalah sebuah entiti korporat milik penuh MAIPk yang ditubuhkan bagi memperkasa sistem pungutan zakat di negeri ini.

Menurutnya, penubuhan ZAPAR sebagai syarikat sendirian berhad menandakan satu era baharu tata kerja urusan pungutan zakat di Perak dengan pendekatan lebih professional dan efisyen, berteraskan digitalisasi selaras dengan keperluan dan kemajuan teknologi semasa.

“Langkah strategik ini diambil bagi memastikan pengurusan kutipan zakat terus ditambahbaik, dan telus untuk meningkatkan keyakinan individu Muslim (muzakki) juga sektor korporat dan perniagaan.

“ZAPAR akan menjadi platform utama kepada umat Islam, syarikat dan institusi korporat untuk menunaikan tanggungjawab menunaikan zakat serta menyemarakkan budaya wakaf tunai.

“Pendekatan ini dijangka mampu melonjakkan kutipan zakat dan memperluaskan manfaatnya kepada golongan asnaf yang layak,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat Islam, terutamanya di Perak untuk memberi sokongan penuh kepada ZAPAR sebagai entiti rasmi pungutan zakat negeri agar rukun Islam ketiga ini dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna dan berkesan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak rekod kutipan zakat tertinggi RM253 juta

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI