KUALA KANGSAR – Jambatan Manong yang menghubungkan Kampung Seberang Manong dengan Pekan Manong di Kampung Simpang Melembu, dekat sini, kini dikenali sebagai Jambatan Sultan Muzzaffar Shah.
Perasmian jambatan yang menyeberangi Sungai Perak itu disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Majlis Perasmian Jambatan Sultan Muzzaffar Shah, di Dataran Amanjaya Manong, dekat sini, pada Khamis.
Turut berangkat ke majlis, Tuanku Zara Salim.
Hadir mengiringi keberangkatan baginda berdua, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Pembinaan jambatan bernilai RM37.9 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) itu bermula pada 2017 dan siap serta dibuka kepada umum pada Oktober 2019.
Jambatan dua lorong dua hala sepanjang 300 meter itu menghubungkan Jalan Manong dengan Jalan Seberang Manong.
Projek tersebut turut merangkumi pembinaan jalan raya sepanjang tiga kilometer (km), naik taraf persimpangan, pemasangan perabot jalan dan lampu jalan.
Kemudahan baharu itu menjadi laluan alternatif yang memendekkan masa perjalanan penduduk dari Kampung Seberang Manong ke Pekan Manong kepada hanya 13 minit (3.5 km), berbanding 40 minit (36 km) sebelum ini.
Sebelum adanya jambatan, penduduk setempat turut menggunakan perkhidmatan bot penambang untuk menyeberangi Sungai Perak. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Laluan sehala: KKR perhalus cadangan lebar jambatan di Tapah