Sultan Nazrin rasmi Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi HRPB

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, pada Selasa.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berkenaan berangkat ke majlis.

Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Majlis juga dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Mohammad Zahir Abdul.

Ketika berucap pada sembah ucapan, Dr Dzulkefly berkata, kompleks yang dibina di atas tapak berkeluasan 14,671 meter persegi itu dibina dengan kos sebanyak RM237 juta di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Menurut beliau, kewujudan Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi yang mempunyai 10 tingkat bangunan tu menjadikan HRPB sebagai antara tiga hospital terbesar di negara ini selepas Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Pulau Pinang.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat merasmikan Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 06 FEBRUARI 2024.

Tambah Dr Dzulkefly, kompleks berkenaan memuatkan 1,394 katil, 22 dewan bedah, 33 katil unit rawatan rapi dewasa, 10 katil unit rawatan jantung, 12 katil unit rawatan rapi kanak-kanak (PICU) dan 24 katil unit rawatan neonatal.

“Kompleks ini menawarkan perkhidmatan kesihatan daripada tiga jabatan utama iaitu Jabatan Kardiologi, Jabatan Pediatrik dan Jabatan Obstetrik dan Ginekologi.

“Ia yang mana dilengkapi dengan kemudahan sebanyak 404 katil, enam dewan bedah dan 304 lot parkir untuk kegunaan kakitangan dan orang awam.

“Selain itu, kompleks ini juga menyediakan tiga perkhidmatan sokongan iaitu perkhidmatan Radiologi, Farmasi dan Unit Bekalan Bahan Steril,” katanya.

Selain itu menurut Dr Dzulkefly, penyampaian penjagaan kesihatan primer merupakan salah satu strategi reformasi dalam mentransformasikan penyampaian perkhidmatan kesihatan seperti yang terkandung dalam Kertas Putih Kesihatan.

“Menjadi harapan agar Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi itu terus dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik demi menjamin kesejahteraan hidup rakyat dalam mencapai sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan,” ujarnya lagi. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Sultan Perak berkenan terima zakat perniagaan RM7.70 juta

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI