Sultan Nazrin sampaikan sumbangan Aidilfitri RM11.77 juta

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan bantuan Hari Raya Aidilfitri Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) berjumlah RM11.77 juta kepada penghulu mukim dari 12 daerah, pada Rabu.

Pegawai Yang Menjalankan Tugas Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Wan Maizura Wan Zahari berkata, sumbangan itu disampaikan sempena Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran peringkat negeri di Masjid Sultan Azlan Shah, dekat sini.

Katanya, sumbangan itu diserahkan kepada semua penghulu mukim berkenaan yang masing-masing mewakili 39,341 penerima yang terdiri daripada asnaf fakir dan miskin seluruh Negeri Perak.

“Penerima bantuan Hari Raya Aidilfitri dipilih daripada senarai asnaf fakir dan miskin yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Diri Jumaat di negeri Perak.

“Selain itu, semua penerima bantuan kewangan bulanan dan hemodialisis terdiri daripada asnaf fakir dan miskin turut menerima bantuan Hari Raya Aidilfitri di bawah dana zakat MAIPk,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Dalam pada itu, jelas beliau, daripada 12 daerah, Kinta menerima bantuan Hari Raya Aidilfitri yang terbanyak dengan jumlah RM2.93 juta membabitkan 9,762 penerima.

“Ia diikuti dengan Daerah Larut Matang dan Selama yang menerima bantuan berjumlah RM1.90 juta dengan 6,236 penerima; Perak Tengah (sumbangan RM1.08 juta dengan 3,600 penerima); sementara Kerian menerima sumbangan RM1.02 juta untuk dimanfaatkan kepada 3,410 penerima,” ujarnya lagi.

Terdahulu pada Sultan Nazrin berkenan berangkat ke majlis bacaan Al-Quran dan tadabbur sebelum berbuka puasa dan menunaikan Solat Maghrib bersama lebih 1,000 jemaah.

Turut berangkat ke majlis, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir mengiringi keberangkatan baginda adalah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Majlis diakhiri dengan keberangkatan Sultan Nazrin menunaikan Solat Isyak dan Tarawih secara berjemaah. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin, Tuanku Zara melawat Bazar Ramadan Arena Square Kuala Kangsar

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI