KUALA LUMPUR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima menghadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming di sini, pada Jumaat.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam satu kenyataan memaklumkan, baginda menzahirkan berkenan untuk merasmikan Pasar Warisan Negara Taiping dan projek naik taraf landskap Taman Tasik Diraja Taiping sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-70 baginda tahun hadapan.
Katanya, sesi menghadap tersebut berlangsung bagi mempersembahkan perkembangan semasa berkaitan projek pembangunan dan inisiatif kementerian, khususnya di Negeri Perak.
“Kerja pembinaan semula Pasar Warisan Taiping yang merupakan pasar awam pertama negara berusia lebih 140 tahun telah bermula pada tahun 2019.
“Namun projek tersebut terpaksa ditangguhkan selepas ditemui kerosakan serius pada struktur kayu asal yang mengalami serangan anai-anai.
“Setelah Kor Ming dilantik sebagai Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, beliau telah meluluskan peruntukan tambahan RM11.9 juta bagi meneruskan kerja-kerja pembinaan semula pasar tersebut,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima menghadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming di Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Kata beliau, Pasar Warisan Taiping merupakan mercu tanda bersejarah di bandar warisan Taiping yang kaya dengan nilai warisan.
Menurut kenyataan sama, sebanyak 30 peratus daripada bahan binaan bangunan tersebut kini dibangun semula menggunakan kayu asal berusia 140 tahun yang masih kukuh demi mengekalkan nilai sejarah warisan dan keaslian seni bina pasar tersebut.
Selain itu KPKT memaklumkan, Kor Ming turut mempersembahkan kepada Sultan Nazrin mengenai kejayaan KPKT yang dilakar di peringkat antarabangsa.
Menurut kenyataan itu, KPKT yang mewakili Malaysia telah dipilih sebulat suara sebagai Presiden Perhimpunan UN-Habitat bagi penggal 2025 hingga 2029 di Nairobi, Kenya pada 31 Mei 2025.
“Atas kejayaan menerajui ekonomi kitaran, Malaysia juga bakal menerima Anugerah Khas Tertinggi daripada Yayasan ‘Zero Waste Foundation’ di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 19 Oktober 2025 di Istanbul, Turkiye nanti,” kata Kor Ming..
Kata kenyataan itu lagi, dalam sesi menghadap berkenaan, Sultan Nazrin turut berkenan menerima cenderamata yang dipersembahkan oleh Kor Ming.
“Ia dihasilkan oleh pelukis anak watan tempatan daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang direka menggunakan bahan kitar semula menjelang Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-69 baginda pada November ini,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Nazrin zahir ucapan tahniah dan penghargaan kepada menteri dan warga KPKT atas kejayaan 2024