IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 1,000 jemaah Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri) Mahadi, di sini, pada Sabtu.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.
Keberangkatan tiba Sultan Nazrin kira-kira pada jam 8.30 pagi itu disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Antara hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid; Mufti Perak Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh, serta Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
Imam Besar, Abd Farid Salleh yang mengimamkan solat sunat turut menyampaikan khutbah bertajuk ‘Menyelami Falsafah Tersirat Di Sebalik Peristiwa Korban’.
Antara yang ditekankan dalam teks khutbah adalah, umat Islam digalakkan untuk melakukan amalan berkorban atau ‘al-lthar’ iaitu mengorbankan kepentingan diri sendiri untuk orang lain dan mendahulukan keperluan orang lain melebihi diri sendiri.
Khatib menerusi teks sama menekankan bahawa kisah pengorbanan kisah Nabi Ibrahim adalah refleksi kepada kehidupan Ummah zaman kini yang juga diuji dengan ‘Ismail’ dalam pelbagai bentuk duniawi seperti kemasyhuran, darjat, pangkat, kuasa, gelaran, kekayaan.
Antara pengajaran yang digariskan dalam teks berkenaan adalah, umat Islam dituntut ikhlas dalam melaksanakan sembelihan korban dengan mengutamakan kepada golongan memerlukan, serta bersedia mengorbankan harta benda demi membantu mereka yang daif, termasuk saudara di Palestin.
Usai solat sunat, Sultan Nazrin berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha di Dewan Bandaran Ipoh, dekat sini. – MG Perak
Artikel Berkaitan: