GOPENG – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan rasa puas hati dan gembira di atas perkembangan serta potensi industri unsur nadir bumi (REE) di negeri ini.
Baginda menzahirkan perkara itu susulan penubuhan makmal analisis unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) pertama di Malaysia, Terra Mineral Lab Sdn Bhd (TML) dan kilang pusat pemprosesan (CPP) secara percubaan (POC), Syarikat Malaco Mining Sdn Bhd (Malaco) di Taman Perindustrian Tungzen, Kampung Kepayang, Simpang Pulai.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, baginda turut bertitah supaya kerajaan negeri berkolaborasi dengan kerajaan Persekutuan bagi memperkukuhkan pembangunan industri tersebut.
“Saya sangat gembira kerana Tuanku menyatakan dia berpuas hati dan dia gembira. Tuanku juga bertitah supaya kerajaan negeri berkolaborasi dengan kerajaan Persekutuan dan kita akan minta MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) tolong mengembangkan lagi industri ini.
“Insyaallah kita akan memulakan langkah-langkah ini yang disebutkan sebagai ‘game changer‘,“ katanya pada sidang media sempena keberangkatan Sultan Nazrin ke TML dan Malaco di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi Inovasi, Chang Lih Kang dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc), Datuk Anuar Zainal Abidin.
Dalam perkembangan sama, Saarani memaklumkan Malaco telah menghantar permohonan bagi mendapatkan dana daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan MOSTI.
Menurutnya, sebelum ini, kerajaan negeri telah memohon kepada Kementerian Kewangan (MOF) peruntukan dana RM20 juta bagi menjalankan eksplorasi terperinci untuk menentusahkan rizab sebenar deposit NR-REE baharu yang boleh diterokai.
“Setakat ini, Malaco berjaya hasilkan empat elemen REE yang mana telah dibuktikan menerusi analisis di TML di mana kandungan itu ada 44 peratus ada HR-REE (heavy rare earth element). Lagi tinggi bermakna boleh diteroka lagi untuk hasil-hasil mineral lain,” jelasnya.
Sementara itu, Lih Kang berkata, MOSTI bersedia memberi kerjasama yang baik terhadap pembangunan REE di Perak kerana ia adalah industri penting kepada negara ke arah perindustrian berimpak tinggi dan berkembang pesat.
“Kementerian memang ada menyediakan peruntukan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan dalam hal ini, sudah semestinya kita akan beri pertimbangan sewajarnya,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: