IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun ke-30 Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd (Lumut Port) yang berlangsung di Galasa Caldwell di sini malam tadi.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Lumut Port, Datuk Mubarak Ali Gulam Rasul.

Pada majlis itu, turut diadakan penyampaian anugerah kepada 14 penerima bagi Anugerah Pelanggan Lumut Port yang meliputi tiga kategori iaitu pelanggan, ejen dan anugerah bagi perkongsian terlama.
Syarikat YTL Cement Berhad menerima anugerah bagi kategori Jumlah Pengendalian Kargo Tertinggi 2024 dan Anugerah Perkongsian Terlama iaitu selama 30 tahun.
PGEO Edible Oil Sdn Bhd pula menerima anugerah bagi Rakan Pertumbuhan Cemerlang dalam Kargo Pukal Kering dan Cecair 2024; Anugerah Rakan Strategik bagi Pertumbuhan Pengendalian disandang Productive Summit Sdn Bhd manakala Hume Cement Sdn Bhd untuk Rakan Kargo Pukal Paling Pelbagai 2024.

Selain itu, syarikat lain yang turut menerima anugerah adalah Manjung Maritime Sdn Bhd (Anugerah Ejen Berprestasi Terbaik 2024); Freightman Agency Sdn Bhd (Anugerah Kecemerlangan dalam Pengendalian Kargo Pelbagai Jenis 2024) dan Lumut Venture Sdn Bhd (Anugerah Sumbangan Cemerlang Agensi Perkapalan 2024).
Penyampaian plak penghargaan kepada tujuh penerima daripada kalangan kakitangan Lumut Port selaku anak syarikat di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) turut diadakan pada majlis tersebut.

Kesemua anugerah disampaikan Saarani dan diiringi Mubarak Ali.
Kemunculan penyanyi terkenal tanah air, Anuar Zain yang menyampaikan tiga buah lagu popularnya iaitu Keabadian Cinta, Ketulusan Hati dan Sedetik Lebih turut menyerikan suasana majlis makan malam tersebut. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Jangan jadikan masjid, surau sebagai ‘gajah tidur’ – Sultan Perak


