IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah 1447 peringkat negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru Raya di sini, pada Khamis.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Berangkat sama, Raja Di Hilir, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris A’fifullah Shah
Keberangkatan tiba Sultan Nazrin sekitar jam 9 malam itu disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Hadir sama, Mufti Perak, Datuk Seri Dr Wan Zahidi Wan Teh; Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim
Kira-kira 1,000 hadirin diperdengarkan dengan alunan zikir Asma Al-Husna dan bacaan ayat-ayat suci al-Quran pada sambutan bertemakan ‘Hijrah dan Kelestarian: Menyatukan Ummah Memulihara Bumi’.
Baginda kemudiannya berkenan menyampaikan Titah Diraja disusuli dengan penyampaian hadiah kepada penerima-penerima anugerah sempena Sambutan Maal Hijrah 1447 peringkat negeri Perak.
Pengarah Akademi Sharifah Khasif, Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman mendahului senarai penerima bagi Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak bagi tahun 1447 Hijrah.
Sultan Nazrin kemudiannya berkenan menyampaikan Anugerah Saidina Abu Bakar As-Siddiq (Tokoh Ar-Ridzuan) kepada Tokoh Pendidikan dan Perundangan Islam Allahyarhamah Datin Dr. Siti Zalikhah Md Nor yang juga ibu kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Turut menerima anugerah adalah Robiah Kulop Hamzah, Anugerah Siti Khadijah (Tokoh Wanita); Muhammad Firdaus Mohamad Suki, Anugerah Saidina Ali (Tokoh Belia); Masjid Nurussalam, Gerik, Anugerah Al-Quba’ (Pengurusan Masjid Terbaik); Tanah Perkuburan Masjid Asy-Syakirin, Parit Buntar, Anugerah Al-Baqi (Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Terbaik); Norzita Hamid, Anugerah Ikon Asnaf dan Rafaa Ahmad Muneer, Anugerah Khas. -MG Perak