IPOH – Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, dekat sini, pada Selasa.
Turut berangkat ke majlis, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa; serta Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah.
Hadir mengiringi keberangkatan baginda, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Pada muzakarah bertemakan Pemerkasaan Integrasi Antara Fiqh dengan Tasawuf itu Sultan Nazrin turut berkenan menyempurnakan pelancaran dua buku yang dihasilkan Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh.
Dua buku berkenaan bertajuk ‘Hubungan Antara Pemerintah dan Rakyat Dalam Kerangka Ahli Sunah Waljamaah’ dan ‘Pengaruh Ahli Sunah Waljamaah Dalam Pembangunan Ummah’.
Naskah Hubungan Antara Pemerintah dan Rakyat Dalam Kerangka Ahli Sunah Waljamaah diterbitkan sebagai memberi pencerahan kepada umat Islam berkenaan tanggungjawab untuk bersatu dengan berpegang kepada ajaran Islam.
Sementara buku Pengaruh Ahli Sunah Waljamaah Dalam Pembangunan Ummah pula mengetengahkan antaranya, bagaimana ummah perlu mendalam prinsip Ahli Sunnah Waljamaah yang menjadi asas kukuh dalam membangunkan ummah yang manpan.
Pada majlis sama, Sultan Nazrin turut berkenan mendengar pembentangan kertas kerja utama oleh Menteri Wakaf Republik Arab Mesir, Syeikh Dr Usamah al-Sayyed Mahmood Muhammad Sa’ad al-Azhari dalam tempoh hampir sejam.
Mukazarah yang berlangsung selama tiga hari bermula Isnin melibatkan tujuh kertas pembentangan dengan penyertaan hampir 400 peserta.
Ia melibatkan mufti, jabatan kerajaan, wakil pertubuhan bukan kerajaan, institusi pengajian tinggi termasuk dari Indonesia, Thailand, Kemboja, Singapura dan Brunei. – MG Perak
Artikel Berkaitan: