Sultan Perak berangkat ke sambutan Hari Pahlawan

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menghadiri istiadat sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Perak 2025 di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Khamis.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin; wakil Panglima Armada Barat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Muda Datuk Abdul Halim Shaari; Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Mohamad Rosli Abu Bakar; wakil rakyat dan ketua jabatan.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebesaran negeri Perak diikuti pemeriksaan kawalan kehormatan utama oleh Sultan Nazrin yang terdiri daripada tiga pegawai kanan dan 102 anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dipimpin Superintenden Mohd Aster Mohamad, dibantu Deputi Superintenden Ahmad Auzan Mohd Noor.

Pegawai pembawa panji-panji ialah Inspektor Mohd Nor Syahid Shaharum, dengan detasmen perhimpunan seramai 408 pegawai dan anggota pasukan keselamatan yang turut merangkumi veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sultan Perak berangkat ke sambutan Hari Pahlawan
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Perak 2025 di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 31 JULAI 2025

Majlis diiringi pancaragam Brass Band KD Pelandok yang dianggotai 45 orang di bawah pimpinan Leftenan Muhamad Ali Rajaie Nor Mohamed dari TLDM.

Setelah pemeriksaan kawalan kehormatan selesai, tiupan Paluan Akhir (Last Post) dimainkan dan Jalur Gemilang diturunkan.

Majlis diteruskan dengan bacaan doa khas Hari Pahlawan oleh Inspektor Adib Azimat dari IPK Perak, diikuti deklamasi sajak bertajuk ‘Darah Perwira di Tanah Merdeka’ yang dideklamasikan oleh Leftenan Hadzeri Julai dari Rejimen 503 Askar Wataniah dan Koperal Nurul Syuhada Azmi dari IPK Perak.

Sebaik selesai, tiupan Rouse dimainkan dan Jalur Gemilang kembali dinaikkan semula diikuti lagu kebesaran negeri Perak sebelum kawalan kehormatan utama keluar perbarisan menandakan penamat upacara.

Sultan Nazrin serta tetamu kehormat yang lain kemudiannya menghadiri Majlis Santapan sempena sambutan itu yang berlangsung di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Hari Pahlawan disambut pada 31 Julai setiap tahun sempena tanggal tamatnya Darurat di Tanah Melayu iaitu pada 31 Julai 1960. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Raja Dihilir Perak berangkat ke majlis bacaan yasin sempena Hari Pahlawan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI