IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Deepavali 2025 Peringkat Negeri Perak di Stadium Indera Mulia di sini, pada Ahad.
Ketibaan baginda berdua pada jam 8.40 malam itu diringi Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin bersama barisan Exco kerajaan negeri.

Turut berkenan berangkat pada majlis itu, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.
Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan sumbangan duit raya kepada 70 anak yatim daripada lima pusat jagaan sekitar Perak.

Mereka terdiri daripada, Pusat Jagaan Pertubuhan Anak-anak Yatim Nurul Iman, Pusat Pengurusan Pusat Jagaan 1 Malaysia Perak, Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan Kanak-kanak Pelangi Perak, Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Yatim Rumah Visi dan dan Pertubuhan Kebajikan Insan Kanak-Kanak Arut Perum Jothy, Ipoh.
Hampir 10,000 rakyat terdiri pelbagai lapisan masyarakat, kaum dan agama hadir memeriahkan majlis berkenaan.

Pelbagai jenis makanan dan kuih muih tradisi masyarakat India antaranya vadai, jelebi, panni poori, falooda, idli dan paroota disajikan kepada rakyat pada sambutan tersebut.
Dalam pada itu, majlis ini turut diserikan dengan persembahan kebudayaan meliputi tarian dan nyanyian tradisi masyarakat pelbagai kaum. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Seni Artisan Market: Destinasi baharu pencinta seni, makanan, gaya hidup


