Sultan Perak berkenan rasmi UiTM Kampus Tapah

TAPAH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, hari ini berkenan merasmikan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak Kampus Tapah di sini, pada Khamis.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan isteri, Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Hadir sama mengiringi baginda Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib.

Majlis dimulakan dengan lagu kebesaran negeri Perak diikuti bacaan ayat suci al-Quran dan doa sebelum Sultan Nazrin menyempurnakan lafaz perasmian dan menandatangani plak perasmian di atas pentas utama.

Sultan Perak berkenan rasmi UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak Kampus Tapah, pada Khamis. Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. Foto: Aniq Nabilafiq Anuar

Sementara itu, Shahrin dalam sembah ucapannya berkata, perasmian UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah bukan sahaja menjadi sejarah, bahkan sebagai peletakan asas yang kukuh bagi fungsi sebenar UiTM untuk menjadi sebuah universiti berasaskan sains dan teknologi.

Menurutnya, UiTM telah membuktikan pelbagai kejayaan dan kecemerlangan warganya hingga ke peringkat antarabangsa.

“Antaranya, melalui penarafan QS (Quacquarelli Symonds) World University Rankings 2024, kedudukan Universiti Teknologi MARA telah melonjak 102 anak tangga kepada kedudukan ke-555 di peringkat dunia dan ke-10 terbaik di Malaysia.

“Selain itu, UiTM turut meraih kedudukan berprestij dengan berada pada kedudukan ke-98 dan tersenarai dalam 100 universiti terbaik Asia dalam penarafan QS Asia University Rankings 2024,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian ini adalah hasil berkat semangat kerja berpasukan dan keikhlasan semua warga dalam memacu universiti untuk menjadi lebih progresif.

UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah telah mula beroperasi pada 1 Disember 2010.

Pada permulaan, fasa pertama melibatkan bangunan kampus yang terdiri daripada enam unit bangunan dengan 25 orang pelajar daripada pengambilan pertama yang memulakan pengajian dalam Diploma Sains Aktuari dan Pra Diploma (Sains).

Kemudian, fasa kedua mula dibina pada tahun 2011 dan beroperasi sepenuhnya pada 21 April 2014 dengan kapasiti 5,000 pelajar dan fasiliti kolej kediaman berkapasiti 2,500 pelajar.

Kemudahan lain yang disediakan termasuk kompleks pentadbiran, blok fakulti, perpustakaan, pusat pelajar, pusat Islam, bangunan kafeteria, unit kesihatan dan pelbagai lagi kemudahan bertaraf moden untuk kemudahan pelajar.

Kini, UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah menawarkan tujuh program utama di Fakulti Perakaunan dan Fakulti Sains Gunaan serta Kolej Pengajian Perkomputeran, Informatik dan Matematik. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin berkenan rasmi bangunan Mahkamah Syariah Taiping

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI