PARIT – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan menyampaikan bantuan Hari Raya Aidilfitri Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi tahun 2026 berjumlah RM12.6 juta di pekarangan Masjid An-Nur, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Seri Iskandar di sini pada Jumaat.
Penyampaian dana zakat berkenaan diadakan sempena Majlis Sambutan Nuzul al-Quran dan Berbuka Puasa Peringkat Negeri Perak, yang diserahkan kepada penghulu mukim dari 12 daerah di Perak bagi mewakili 42,006 orang penerima terdiri daripada asnaf fakir, miskin dan muallaf di seluruh negeri.
Turut berangkat pada majlis itu, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa, dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini; dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh dalam satu kenyataan berkata, penerima bantuan Hari Raya Aidilfitri itu dipilih daripada senarai asnaf fakir dan miskin yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Zakat Fitrah Masjid dan Surau Diri Jumaat di negeri Perak.
Katanya, semua penerima bantuan kewangan bulanan dan pesakit hemodialisis yang tergolong dalam asnaf fakir serta miskin turut menerima bantuan Hari Raya Aidilfitri di bawah dana zakat MAIPk. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


