Sultan Perak berkenan terima zakat perniagaan RM7.70 juta

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima penyerahan zakat perniagaan berjumlah RM7.70 juta daripada 10 syarikat korporat dan individu kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi tahun 2023, pada Jumaat.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Wan Maizura Wan Zahari berkata, selain itu baginda turut berkenan menerima penyerahan wakaf berjumlah RM100,000 daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) kepada MAIPk, bagi tahun sama.

Katanya, antara agensi dan individu pembayar zakat adalah Bank Simpanan Nasional (BSN) yang menyerahkan sebanyak RM573,169; Boustead Plantations Berhad (RM297,626); Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Berhad (KAKIB) (RM202,645.05); Perak SADC (RM2.19 juta) dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (RM500,000).

“Manakala, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyerahkan bayaran zakat bernilai RM100,000, PLUS Malaysia Berhad (RM500,000); Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (RM2.96 juta); UDA Holdings Sdn Bhd (RM254,283) serta Zaman Motors Sdn Bhd (RM124,710),” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat pada Majlis Pengurniaan Watikah Anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Bagi Penggal 2024-2025, dan Hakim Mahkamah Syariah Negeri serta, Majlis Penyerahan Zakat. Foto ihsan PEJABAT MENTERI BESAR PERAK

Penyerahan pembayaran zakat dan wakaf itu disempurnakan Sultan Nazrin pada Majlis Pengurniaan Watikah Anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi penggal 2024-2025, di sini, pada Jumaat.

Pada majlis sama, baginda turut berkenan menyempurnakan Majlis Pengurniaan Watikah bagi Hakim Mahkamah Syariah Negeri Perak.

Selain itu, Wan Maizura berkata, Sultan Nazrin turut berkenan mengurniakan Watikah Anggota MAIPk kepada individu yang mewakili Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Pertanian Negeri, Jabatan Alam Sekitar Negeri, Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Yayasan Perak serta Majlis Belia Negeri.

“MAIPk diterajui oleh anggota berwibawa, berpengalaman luas, mahir dan mempunyai pemikiran strategik dalam pelbagai bidang serta disiplin ilmu.

“Komposisi anggota yang dilantik terdiri daripada ahli korporat, akademik, undang-undang, hukum syarak dan juga ketua jabatan dalam bidang berkaitan yang mempunyai pengetahuan serta kepakaran masing-masing bagi membantu MAIPK memperkasakan ummah di Perak,” katanya lagi. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Islam tidak boleh dibiarkan kelihatan suram – Sultan Perak

Perak ukir sejarah, hakim wanita dilantik di Mahkamah Rayuan Syariah

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI