GOPENG – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat melawat makmal analisis mineral pertama di Malaysia, Terra Mineral Lab Sdn Bhd (TML) dan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral (CoE) di Kawasan Perindustrian Gopeng di Simpang Pulai, pada Sabtu.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Hadir sama, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani dan Menteri Sains, Teknologi Inovasi, Chang Lih Kang dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc), Datuk Anuar Zainal Abidin.
TML yang beroperasi sepenuhnya di bawah seliaan MB Inc adalah sebuah makmal analisis unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) komersial pertama di Malaysia.
Makmal yang dilengkapi dengan peralatan saintifik berteknologi tinggi bertaraf dunia dan mempunyai keupayaan unggul dalam menganalisis, mengenal pasti dan menentusahkan kandungan mineral, khususnya NR-REE.
Di samping itu, makmal tersebut kini dikendalikan oleh 15 pakar tempatan yang terdiri daripada graduan terlatih dari universiti tempatan membuktikan kejayaan dalam membangunkan bakat setempat.
Dalam lawatan tersebut, baginda berdua turut berkenan mendengar taklimat keselamatan dan pengoperasian oleh Anuar.
Sultan Nazrin dan Tuanku Zara kemudiannya dibawa melawat fasiliti dan pengoperasian makmal.
Sementara itu, Saarani berkata, kejayaan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri menerusi MB Inc dalam membangunkan industri mineral secara bertanggungjawab, selaras dengan Pelan Perak Sejahtera 2030.
“Pembangunan industri NR-REE ini bukan sahaja akan memanfaatkan ekonomi negeri, tetapi juga membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan serta meletakkan Perak di peta global industri mineral,” katanya.
Beliau berkata, TML kini menawarkan perkhidmatan analisis mineral kepada pelbagai pihak berkepentingan industri, bukan sahaja di Perak malah di seluruh Malaysia.
Tambahnya, peranannya sebagai pusat pangkalan data dan penanda aras rujukan negeri memperkukuhkan kedudukan negeri Perak sebagai peneraju dalam industri NR-REE negara.
Terdahulu, Sultan Nazrin berkenan berangkat ke kilang pusat pemprosesan (CPP) secara percubaan (POC), Malaco Minning Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Tungzen Kampung Kepayang, dekat Simpang Pulai.
Kilang pemisahan bahan galian kritikal itu mencapai kejayaan awal dengan berjaya mengasingkan empat kumpulan unsur nadir bumi (REE).
Kumpulan-kumpulan tersebut merangkumi lanthanum cerium (LaCe), praseodymium neodymium (PrNd), samarium europium gadolinium (SEG), dan heavy rare earth element (HREE).
Pencapaian ini membuktikan keupayaan teknologi tempatan dalam mengasingkan elemen-elemen REE yang penting. – MG Perak
Artikel Berkaitan: