IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak bagi tahun 1447H/2025M yang diadakan di Pusat Konvensyen Casuarina, di sini pada Khamis.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim ke majlis tersebut yang turut menyaksikan penyampaian beberapa anugerah.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim.
Majlis dimulakan dengan lagu kebesaran Negeri Perak disusuli persembahan silat dan seterusnya bacaan ayat-ayat suci al-Quran, diikuti selawat beramai-ramai sebelum baginda berkenan menyampaikan titah.
Baginda dilihat sebak ketika menitipkan doa kepada rakyat supaya sentiasa hidup dalam suasana penuh kasih sayang, bersatu padu serta dijauhkan daripada segala bentuk perpecahan serta permusuhan.
Dalam doa tersebut, Sultan Nazrin turut memohon kepada Allah SWT supaya menyatukan hati umat, memperbaiki hubungan sesama manusia dan menyelamatkan mereka daripada kegelapan.
“Ya Allah, satukanlah hati-hati kami, perbaikilah hubungan antara kami, selamatkanlah kami daripada kegelapan jahiliyah.
“Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, kurniai kami taufik dan hidayahmu dan sinarilah jiwa kami dengan cahaya iman dan takwa.
“Jadikanlah kami umat yang bersatu, saling menyayangi, menghormati dan bekerjasama dalam kebaikan.
“Jauhkanlah kami daripada perpecahan, permusuhan dan kebencian. Tautkan hati-hati kami dengan iman dan kasih sayang keranamu Ya Allah,” doa baginda.
Sejurus selesai bertitah, bagi menyampaikan anugerah kepada tujuh penerima anugerah pada majlis tersebut.
Tujuh anugerah itu ialah Anugerah Keluarga Ammar Bin Yasir (Tokoh Keluarga Mithali), Anugerah Ibnu Abbas (Tokoh Pendakwah), Anugerah Pertubukan Bukan Kerajaan (NGO), dan Anugerah Pegawai Masjid membabitkan tiga kategori ialau Tokoh Imam, Tokoh Bilal dan Tokoh Siak serta Anugerah Khas.
Anugerah Keluarga Ammar Bin Yasir (Tokoh Keluarga Mithali) diterima oleh ibu tunggal kepada enam cahaya mata, Umi Kalsom Bahak, 74, dengan menerima hadiah tunai RM10,000 dan hadiah iringan pakej Umrah bernilai RM9,000 dan plak.
Anugerah Ibnu Abbas (Tokoh Pendakwah) diterima oleh Penyelia Mubaligh Islam Negeri Perak, Wan Masindra Juja, 44.
Anugerah NGO pula diterima oleh Angkatan Belia Islam Malaysia Cawangan Negeri Perak (ABIM) manakala Anugerah Tokoh Imam diterima oleh Roslan Mat, 61, yang merupakan Pengerusi Koperasi Peserta-Peserta Felcra Malaysia Berhad (KPFMB) Perak.
Bekas guru, Sirat Abdullah, 64, dan Mat Yusoff Suliman, 72, masing-masing menerima anugerah Tokoh Bilal dan Tokoh Siak manakala Anugerah Khas diterima guru, Ismail Muhamad Zin, 41.
Kesemua penerima bagi keenam-enam anugerah masing-masing menerima RM5,000 dan plak. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Jangan persoal perjanjian dipersetujui ketika kemerdekaan – Sultan Nazrin
Fitnah dan kebencian di media sosial cetus perpecahan – Sultan Nazrin