Sultan Selangor berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin Tahlil dan Khutbah Khas HUT TLDM

LUMUT – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Khutbah Khas sempena Sambutan Ulang Tahun (HUT) Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-90, di Masjid An-Nur, Pangkalan TLDM di sini, pada Jumaat.

Keberangkatan baginda disambut Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Undang Luak Johol, Datuk Muhammad Abdullah; Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob; mantan Panglima Tentera Laut Ke-16, Tan Sri Dr. Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin serta barisan kepimpinan tertinggi TLDM.

Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Khutbah Khas ini diadakan sempena memperingati tragedi nahas Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan FENNEC TLDM pada Selasa lalu yang mengorbankan nyawa 10 perwira TLDM.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Khutbah Khas sempena Sambutan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-90, di Masjid An-Nur, Pangkalan TLDM. Foto, ABDULLAH YUSOF, 26 APRIL 2024.

Majlis dimulakan dengan ketibaan baginda yang merupakan Kepten Yang Di Pertua TLDM di Masjid An-Nur TLDM pada jam 12.15 tengah hari.

Baginda kemudiannya menunaikan solat sunat terlebih dahulu sebelum majlis bacaan Yasin yang diketuai Pengarah Agama Markas Tentera Laut, Leftenan Kolonel Ahmad Kamil Abdullah dimulakan.

Alunan ayat suci Al-Quran itu memenuhi segenap ruang masjid bermula jam 12.25 tengah hari dan tamat pada jam 1 petang.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan Khutbah Khas bertajuk “TLDM Perkasa, Kedaulatan Terpelihara” yang disampaikan oleh Abdul Rahman sebelum menunaikan solat Jumaat.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Khutbah Khas sempena Sambutan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-90, di Masjid An-Nur, Pangkalan TLDM. Foto, ABDULLAH YUSOF, 26 APRIL 2024.

Baginda Sultan Selangor kemudiannya berangkat meninggalkan majlis pada jam 2.30 petang.

Seramai 3,000 warga TLDM hadir ke majlis berkenaan bersama ahli keluarga wira dan wirawati negara yang terkorban dalam tragedi berkenaan.

Terdahulu, TLDM mengesahkan 10 anggotanya terkorban dalam tragedi yang membabitkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru helikopter Fennec TLDM. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI