‘Sumbangan jangan dibiar kaku dalam tabung masjid’ – Khutbah Jumaat Perak

IPOH – Bukan hanya sebagai tempat beribadah semata-mata, sebaliknya masjid juga perlu berfungsi sebagai pusat komuniti yang bermanfaat kepada masyarakat, termasuk melalui pengurusan kewangan secara bijak.

Teks khutbah Jumaat yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengingatkan bahawa, sumbangan orang ramai kepada tabung masjid tidak seharusnya dibiarkan terkumpul tanpa digunakan.

“Sumbangan orang ramai bukan untuk dibiarkan kaku dalam tabung. Masjid bukannya sebuah bank untuk berbangga dengan akaun lebihan yang tidak dibelanjakan.

“Sebaliknya sumbangan itu hendaklah dibelanjakan untuk meningkatkan kemudahan demi keselesaan jemaah dan manfaat ahli-ahli kariah,” katanya.

Teks khutbah Jumaat bertajuk ‘Memperkasa Peranan Masjid’ itu dibacakan di masjid dan surau diri Jumaat seluruh Perak.

Pada masa sama, teks itu turut menegaskan bahawa, peranan masjid tidak boleh disempitkan hanya kepada ibadah fardu ain, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan kegiatan fardu kifayah.

Khutbah itu mengambil contoh beberapa masjid di Perak yang menyediakan rumah inap desa dan tandas untuk kemudahan musafir, serta mengadakan kerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar bagi program kitar semula.

Katanya lagi, 87 masjid dan 21 surau seluruh negeri yang menjalin kerjasama dengan Jabatan Pertanian Negeri dalam menghasilkan sayur-sayuran dan buah-buahan juga perlu dijadikan contoh.

Di samping itu, JAIPK menerusi teks sama turut menyenaraikan lapan saranan lain untuk mengimarahkan masjid termasuk menjadikan ia sebagai pusat pengembangan ilmu, ekonomi, kesihatan dan bank makanan.

“Sebanyak 26,964 kelas pengajian agama telah dianjurkan di semua masjid dan surau diri Jumaat di Perak antara Januari sehingga Julai, yang menyentuh tentang akidah, fiqah, akhlak, sirah dan sebagainya.

“Namun kegiatan pengembangan ilmu di masjid hendaklah lebih menyeluruh, dengan mempelbagaikan kandungan pengajian, merangkumi bidang-bidang seperti kesihatan, pertanian, sains, dan sebagainya.

“Di samping itu ia masjid juga boleh menjemput pakar-pakar dalam bidang-bidang tersebut untuk mengisi program-program tazkirah dan ceramah,” katanya lagi.

Tambah teks itu lagi, usaha mengimarahkan masjid adalah tanggungjawab bersama setiap umat Islam sama ada secara sumbangan kewangan, fikiran, tenaga, mahupun masa. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Perak rancang TVET jadi intipati khutbah Jumaat, bantu giat promosi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI