IPOH – Penggunaan teknologi terkini seperti komputer riba amat membantu pelajar sekolah bagi menjalani pembelajaran atas talian dengan lebih efisien.
Justeru, syarikat World A Two Z Global Sdn Bhd menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menyampaikan sumbangan 10 komputer riba kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kerajaan, di sini.
Pengawai Pentadbir World A Two Z Global Sdn Bhd, B Jayanthi berkata, syarikat berkenaan sentiasa prihatin dengan keperluan masyarakat khususnya mereka yang terdiri daripada golongan B40 serta pendidikan untuk pelajar sekolah.
Menurutnya, keuntungan yang diperolehi syarikat dipulangkan semula kepada masyarakat melalui program CSR yang diadakan sejak dua tahun lalu.
“Pada tahun ini, kami memulakan program CSR dengan menyampaikan sumbangan 10 komputer riba kepada SJKT Kerajaan.
“Kami memilih untuk menyampaikan sumbangan komputer riba bagi memudahkan pelajar meningkatkan prestasi dalam pelajaran atas talian serta mereka tidak akan ketinggalan di belakang bagi penggunaan teknologi terkini,” katanya ketika ditemui di Pusat Komersial Jelapang, di sini malam tadi.
Katanya, pihaknya juga turut memberi bantuan seperti barangan keperluan asas dan wang tunai untuk keluarga B40 yang memerlukan.
“Sehubungan itu, kami berharap akan terus berkongsi rezeki kepada semua golongan yang memerlukan pada masa akan datang,” jelasnya.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, SJKT Kerajaan, R Jeyaseelan berkata, pemberian komputer riba tersebut banyak membantu kami untuk digunakan sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran.
“Sumbangan yang diberikan ini tepat pada masanya kerana dalam situasi sekarang kami ingin meningkatkan kecemerlangan akademik dan banyak memerlukan komputer riba.
“Kami ingin merakamkan penghargaan di atas pemberian komputer riba ini dan berharap syarikat lain dapat tampil menyalurkan sumbangan yang sesuai untuk kegunaan murid di sekolah,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
MAIPk peruntuk RM520,500 bantu 438 pelajar asnaf cemerlang