KUALA LUMPUR – Surat peletakan jawatan Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang tular di media sosial adalah palsu.
Perkara itu disahkan Pejabat Ketua Pembangkang dan beliau sendiri, malam tadi.
Terdahulu, tular dua surat menggunakan kepala surat Pejabat Ketua Pembangkang dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kononnya Hamzah meletakkan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang.
Menurut surat itu, pelepasan jawatan dibuat susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mengambil kira realiti serta keperluan politik semasa
Ia turut mendakwa keputusan dibuat selepas pertimbangan menyeluruh, demi memastikan kesinambungan kepimpinan dan kestabilan PN bergerak selari dengan hala tuju baharu di bawah Pengerusi yang akan dilantik kelak.
Semalam, Muhyiddin mengesahkan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.
Ia disusuli oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin yang turut meletakkan jawatan tersebut di samping jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor berkuatkuasa 1 Januari 2026.
Selain Muhyiddin dan Azmin, Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Pengerusi PN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker turut mengambil langkah yang sama. -MalaysiaGazette


