IPOH – Penduduk di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Pengkalan Pertama, dekat sini kesal apabila ada pihak luar cuba menjadi batu api di sebalik isu Surau al-Karamah yang sudah pun diselesaikan sebelum ini.
Pesara swasta, Mohd Yusoff Mat, 62, berkata, penduduk setempat sudah pun berlapang dada berpindah dari surau lama ke surau baru yang sudah lebih setahun beroperasi.
Dia yang mendiami kawasan itu sejak 30 tahun juga kesal apabila ada pihak yang tetap mahu memecahbelahkan ukhuwah penduduk setempat dengan cuba membangkitkan kembali isu Surau al-Karamah yang lama.
“Saya juga sebelum ini menunaikan solat jemaah di Surau al-Karamah lama, namun selepas ada pembinaan surau baru, saya berpindah menunaikan solat jemaah di sini, kerana keadaan lebih selesa.
“Sebagai orang lama di kampung ini, saya amat terasa apabila ada pihak menggunakan perkataan kasar seperti ‘kafir’ untuk pecah belah penduduk.
“Saya memang sedih melihat perkara ini kerana saya mahu semua penduduk di sini terus bersatu,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak, di Surau al-Karamah RPT Pengkalan Pertama, dekat sini, pada Selasa.
Terdahulu seorang pengguna media sosial menerusi video pendek mendakwa Surau al-Karamah di Pasir Puteh dekat sini bakal dirobohkan oleh pemaju perumahan kerana ia bakal dibina jalan raya.
Menurut laporan media sebelum ini, isu yang pernah dibangkitkan kira-kira empat tahun lalu telah diselesaikan dengan baik melalui pembinaan sebuah bangunan surau baru yang terletak tidak jauh dari tapak surau lama.
Pada Februari lalu, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim dilaporkan berkata, perkara itu tidak sewajarnya diperbesarkan kerana telah mendapat kebenaran daripada Jawatankuasa Fatwa negeri.
Sementara itu seorang lagi penduduk, Shahrul Azmi Dahlan, 40, berkata, isu berkenaan sepatutnya tidak perlu diungkit-ungkit lagi memandangkan penduduk sudah akur dan berlapang dada dengan penyelesaian pihak berkuasa.
“Saya harap kita perlu menjunjung titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang memberi perkenan agar surau lama tidak dirobohkan sehingga surau baru siap dibina.
“Sekarang surau baru sudah siap dan beroperasi lebih setahun. Saya harap tidak perlu orang luar cuba hendak cuba mencampuri dalam hal penduduk setempat,” katanya.
‘Jangan dengar daripada sebelah pihak sahaja’
Sementara itu, Pengerusi Surau al-Karamah RPT Pengkalan Pertama, Rosli Mhd Daud berkata, penduduk setempat semenangnya meraikan dan mengimarahkan bangunan surau baru yang jauh lebih selesa.
Beliau juga berharap agar mana-mana pihak tidak terpedaya dengan dakwaan pihak luar yang cuba menggambarkan suasana tidak harmoni berlaku di kampung berkenaan.
“Tidak sepatutnya orang luar cuba hendak mensensasikan perkara yang dengar hanya daripada sebelah pihak, kemudian buat kesimpulan yang tidak tepat.
“Sejak surau baru dibina, segala aktiviti di sini diimarahkan, malah segala sambutan atau acara sama ada berkenaan keagamaan dan kenegaraan, ia disambut meriah.
“Tambahan aktiviti kemasyarakatan seperti jamuan Hari Raya Aidilfitri dihadiri kira-kira 300 ke 400 orang,” katanya lagi.
Selain itu tambah Rosli, sebuah masjid baharu juga akan dibina di kawasan berhampiran dengan ia turut tersenarai antara masjid yang sedang dalam perhatian kerajaan negeri.
“Setakat ini kutipan untuk pembinaan masjid telah mencapai RM400,000 daripada sasaran RM600,000. Kami sudah berjumpa dengan Menteri Besar (Datuk Seri Saarani Mohamad) untuk memohon dana komitmen daripada kerajaan negeri.
“Respons beliau positif dan kami difahamkan masjid berkenaan antara empat masjid baharu yang sedang dalam senarai perhatian kerajaan negeri,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Bangunan baharu Surau al-Karamah semakin imarah, sedia sambut Ramadan