Surau baharu ganti Surau Al-Karamah sudah siap dibina – JAIPk

IPOH – Sebuah surau baharu telah dibina pihak pemaju bagi mengantikan Surau Al-Karamah, Kampung Seri Keramat, Pasir Puteh, di sini, yang bakal dirobohkan.

Bercakap kepada MG Perak, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, kelengkapan surau baharu berkenaan juga telah disediakan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Menurut beliau, isu merobohkan Surau Al-Karamah berkenaan sepatutnya selesai memandangkan ia sudah mendapat mendapat kebenaran daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri.

“Surau baharu sudah pun dibangunkan dan kelengkapan surau turut disediakan oleh MAIPk dan sepatutnya, masyarakat setempat perlu berlapang dada untuk pindah ke surau baharu,” jawabnya ringkas ketika dihubungi baru-baru ini.

Surau baharu yang sudah siap dibina bagi mengantikan Surau Al-Karamah di Kampung Seri Keramat, Pasir Puteh, Ipoh yang bakal dirobohkan. Foto, ANIQ NABILAFIQ 17 FEBRUARI 2024.

Harith Fadzilah berkata, JAIPk bersama agensi dan jabatan terlibat sudah mengadakan beberapa pertemuan bersama penduduk bagi membincangkan isu tersebut.

Bagaimanapun katanya, kariah surau masih berkeras untuk tidak membenarkan kerja pengosongan dan meroboh surau dilaksanakan oleh pihak pemaju.

“Saya dimaklumkan, pemaju telah pun mengambil tindakan undang-undang bagi menyelesaikan isu itu,” jelasnya.

Terdahulu, media melaporkan lebih 100 penduduk Kampung Seri Keramat, Pasir Puteh, di sini, memprotes tindakan pemaju yang hadir untuk melaksanakan kerja-kerja mengosongkan dan merobohkan Surau Al-Karamah yang bertapak lebih 40 tahun di kampung berkenaan.

Surau baharu yang sudah siap dibina bagi mengantikan Surau Al-Karamah di Kampung Seri Keramat, Pasir Puteh, Ipoh yang bakal dirobohkan. Foto, ANIQ NABILAFIQ 17 FEBRUARI 2024.

Penduduk kampung terdiri daripada kariah serta jawatankuasa surau mula berkumpul sekitar jam 9 pagi pada Khamis dan suasana mula kecoh selepas kehadiran wakil pemaju dan pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang kemudiannya bertindak memotong bekalan elektrik di surau tersebut.

Pada 2021, Jawatankuasa Surau Al-Karamah memohon campur tangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Menteri Besar serta Pejabat Tanah dan Galian Perak untuk menghalang tindakan merobohkan surau itu bagi memberi laluan kepada projek perumahan.

Bantahan itu kemudiannya mendapat perhatian Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang memberi perkenan agar surau tersebut tidak dirobohkan sehingga surau baharu siap dibina. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Penduduk protes roboh Surau Al-Karamah

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI