Suspek bunuh pembantu kedai ditahan kurang 24 jam

TAIPING – Polis menahan seorang penanggur dipercayai terlibat dalam kejadian bunuh seorang pembantu kedai yang ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di ladang kelapa sawit di Simpang, dekat sini, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, lelaki itu ditahan dalam tempoh kurang 24 jam selepas pihak polis menerima maklumat awam penemuan mayat lelaki dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah sekitar jam 2.55 petang.

Katanya, hasil siasatan di tempat kejadian polis mendapati mangsa berusia 19 tahun telah meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai akibat ditikam.

“Bertindak atas maklumat yang diperoleh, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping berjaya menahan suspek berusia 40 tahun di Taman Perumahan Aulong kira-kira jam 11.00 pagi.

“Turut dirampas satu bilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut. Semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing didapati positif dadah jenis morfin,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Mohamad Nasir berkata, siasatan awal juga mendapati motif pembunuhan itu berpunca daripada perasaan cemburu.

Kata beliau, suspek akan dibawa ke Mahkamah Taiping untuk permohonan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan membunuh.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, sekiranya tidak dihukum mati.

“Polis menyeru kepada masyarakat Taiping untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi menjamin kesejahteraan dan ketenteraman awam,” katanya lagi. – MG Perak

 

 

Artikel Berkaitan:

Suspek kes bunuh ditahan ketika memperbaharui pasport

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI