KUALA TERENGGANU – Pemandu kereta Honda Jazz yang terlibat dalam kemalangan maut membabitkan pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di persimpangan lampu isyarat berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jalan Kemajuan, di sini semalam disahkan menghidap Major Depressive Disorder (MDD).
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata berdasarkan laporan, lelaki berusia 32 tahun itu telah beberapa kali menjalani rawatan psikiatri di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mulai Januari 2025.
Beliau berkata lelaki berkenaan kini dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di hospital sama akibat patah tangan kanan dan luka di beberapa bahagian badan akibat kemalangan itu.
“Suspek masih hidup, belum meninggal dunia seperti yang tular menerusi media sosial. Dia sedang dirawat di HSNZ dan perlu menjalani pembedahan kerana kecederaan tangan yang teruk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata siasatan lanjut pihaknya mendapati sebelum kemalangan, lelaki itu telah mencuri beberapa barangan termasuk wang tunai berjumlah RM200 daripada sebuah kereta yang diparkir di sekitar Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini kira-kira 1.45 tengah hari.
Beliau berkata selepas mengambil barangan dan wang, suspek masuk kembali ke dalam keretanya dan memecut kenderaan sehingga berlaku kemalangan di Jalan Kemajuan sepertimana rakaman papan pemuka.
“Semakan oleh JPJ mendapati kereta Honda Jazz dipandu suspek adalah milik adiknya, bukan kenderaan curi seperti yang didakwa dan ditularkan oleh pelbagai pihak menerusi media sosial,” katanya.
Sehubungan itu, Azli mengingatkan orang ramai supaya menghentikan sebarang penyebaran maklumat tidak sahih bagi menghormati serta menjaga sensitiviti keluarga mangsa dan suspek, selain memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh serta telus.
“Suspek akan ditahan bagi tujuan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 apabila selesai menjalani pembedahan dan benar-benar sihat,” katanya.
Dalam kejadian pada 1.55 tengahari semalam, mangsa Syakirah Hanan Mazli, 25, yang memandu Perodua Viva dari arah UniSZA menghala ke Bukit Kecil di sini, ingin membelok ke kanan setelah lampu isyarat bertukar hijau sebelum dirempuh Honda Jazz yang datang dari arah bertentangan.
Kemalangan itu menyebabkan pelajar semester dua Diploma Pascasiswazah Pendidikan di UniSZA itu meninggal dunia di lokasi kejadian.
— BERNAMA


