Syarikat kenderaan elektrik dari China bakal buka kilang di AHTV

PASIR SALAK – Kerajaan Negeri Perak berjaya menarik pelaburan melibatkan sebuah syarikat pengeluar kenderaan elektrik terbesar dunia bagi membuka kilang di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, syarikat automotif dari China itu bakal beroperasi di Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV), di Tanjung Malim.

Menurut beliau, fasa pertama pembinaan kilang berkenaan melibatkan keluasan tanah berjumlah 200 ekar dengan anggaran pelaburan melangkaui bilion ringgit.

“Urusan di sini sudah selesai. Syarikat itu pun kita sudah bantu dia untuk membuat pengambilan tanah dan dia sudah bayar. Kemudian tandatangan dia antara tuan tanah juga sudah dibuat.

“Pelaburan itu datang daripada sebuah syarikat automotif dari China tapi kita tidak dapat mengumumkannya sebab akan diumumkan sendiri oleh syarikat berkenaan setelah mendapat kelulusan kebenaran daripada pemerintah China,” katanya,

Beliau berkata demikian pada pemberita selepas hadir ke Karnival Sukan Bendang Komuniti Perak Sejahtera 2030, Daerah Hilir Perak Tahun 2025 di Sekolah Kebangsaan Permatang, Sungai Manik, di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, pemilihan Perak sebagai lokasi pelaburan baharu syarikat kenderaan elektrik berkenaan merupakan satu kejayaan besar serta membawa limpahan ekonomi buat rakyat negeri ini.

Jelas beliau, ia memandangkan terdapat beberapa negeri serta negara jiran Indonesia yang turut berusaha menarik minat syarikat tersebut namun Perak berjaya menjadi destinasi pilihan.

“Syarikat ini menjadi rebutan bukan sahaja dalam Malaysia malah juga direbut oleh Indonesia. Negeri-negeri lain juga memujuknya dengan beberapa insentif.

“Namun kita berjaya memintas mereka dengan menawarkan servis perkhidmatan lebih mesra pelabur selain menunaikan permintaan mereka.

“Jadi dia (syarikat automotif China) sudah bersetuju. ‘Agreement’ sudah ditandatangani. Tanah pun sudah dan kita tunggu dia masuk jenteralah,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI