IPOH – Sebuah syarikat pembekal diesel didenda RM45,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa atas kesalahan menjual diesel sebanyak 16,380 diesel kepada pembeli yang tidak mempunyai permit, tiga tahun lalu.
Hakim, Ainul Sharin Mohamad, menjatuhkan hukuman itu terhadap orang kena saman (OKS), Tan Chia Shern, 33, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah pada Selasa.
Berdasarkan pertuduhan, Tan sebagai pengarah syarikat didakwa menjual diesel sebanyak 16,380 liter kepada sebuah syarikat yang merupakan pembeli dan tidak mempunyai permit atau kelulusan bertulis yang sah oleh Pengawal Bekalan Malaysia.
Kesalahan tersebut dilakukan di premis GCCP Marble Sdn Bhd, Keramat Pulai Industrial Park, Mukim Sungai Raya, Ipoh dalam daerah Kinta antara jam 8 pagi hingga 5 petang, 15 Ogos 2023.

Hakim Ainul Sharin Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap orang kena saman (OKS), Tan Chia Shern, 33, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah pada Selasa. Foto ABDULLAH YUSOF 10 FEBRUARI 2026.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961, yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin dan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, N Shamani manakala OKS diwakili peguam, Robin Lim Fang Say.
Terdahulu, Chin Cheong merayu anak guamnya dikenakan hukuman denda minimum atas alasan pengakuan bersalah tertuduh serta telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.
Mohamad Nazreen bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada Tan supaya tidak mengulangi kesalahan sama.
Tan membayar denda tersebut. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


