BUKIT GANTANG – Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, masih kekal dengan keputusan untuk tidak menyertai mana-mana parti politik.
Menurutnya, meskipun terdapat parti baharu yang mungkin ditubuhkan mana-mana pihak beliau lebih selesa untuk bergerak sebagai wakil rakyat bebas.
Malah Syed Abu Hussin turut menegaskan bahawa dia merupakan individu ‘non partisan’ (tidak berparti) selepas ditanya pemberita adakah akan menyertai parti politik baharu termasuk ‘rumah baharu’ yang dikaitkan dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
“Tidak, saya non-partisan (tidak berparti) dan Insya-Allah saya non-partisan,” jawabnya ringkas selepas ditemui pada program Jualan Murah Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang di sini, pada Rabu.

Ditanya jika ada perbincangan antara beliau dan Hamzah, Syed Abu Hussin berkata ia tidak pernah berlaku.
Syed Abu Hussin turut berkata, beliau lebih memilih untuk berpolitik secara matang memandangkan kewujudan parti baharu lebih kepada sentimen politik.
“Rakyat sekarang berfikir bagilah kepada mereka (wakil rakyat) yang bekerja, tidak kira parti mana dan kalau kita buat kesilapan masih lagi berlandaskan parti, maka tidak ada penyelesaian.
“Rakyat sekarang sudah dewasa dan kita sudah merdeka lama. Biarlah rakyat tahu macam mana hendak menilai,” katanya. -MG Perak


