PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilepas dan dibebaskan daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta dan dua sebatan atas pelbagai kesalahan berkaitan penyelewengan dana Armada.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan wakil rakyat itu.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.
Hakim Noorin ketika membacakan keputusan itu antara lain berpendapat, pertuduhan bersubahat pecah amanah yang dihadapi oleh Syed Saddiq, tidak berasas.
Beliau berkata, pendakwaan gagal membuktikan niat tidak jujur Syed Saddiq ketika memberikan arahan supaya wang RM1 juta dikeluarkan dari dana Armada.
“Dakwaan ketidakjujuran Syed Saddiq yang membawa kepada keuntungan secara salah (wrongful gain) kepadanya atau kerugian secara salah (wrongful lost) pada pihak Armada, tidak dapat dibuktikan.
“Hakim Mahkamah Tinggi gagal menilai keseluruhan keterangan yang dikemukakan dan ia membawa kepada kekhilafan ketika mencapai keputusan mensabit dan menghukum Syed Saddiq. Ini memerlukan campur tangan mahkamah,” ujar Hakim Noorin.
Beliau turut menyatakan, pendakwaan gagal menunjukkan bukti kredibel bagi menyokong pertuduhan menyalahgunakan wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Bhd milik Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE).
Ujarnya, tiada bukti yang menghubungkan kes pendakwaan bahawa wang RM120,000 yang dikeluarkan itu, milik ABBE atau Syed Saddiq.
Oleh yang demikian, tiada bukti bahawa tertuduh menyalahgunakan wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Bhd ABBE.
Panel itu turut mendapati, oleh kerana mahkamah tidak boleh bergantung kepada pertuduhan salah guna wang RM120,000, maka pertuduhan pengubahan wang haram juga tidak dapat dipertahankan.
Pembelaan dalam hujahya berpegang kepada pendirian bahawa bukan Syed Saddiq yang mengarahkan wang RM1 juta dikeluarkan daripada akaun milik Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), lima tahun lalu.
Selain itu, pertuduhan yang dirangka terhadap Syed Saddiq tidak betul kerana ia tidak mendedahkan jenis kesalahan yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Muar itu.
Namun pasukan pendakwaan menolak hujahan itu dengan menyatakan Syed Saddiq sejak dari awal bertindak secara tidak jujur apabila mengarahkan bekas Penolong Bendahari Armada Bersatu untuk ‘membersihkan’ wang berjumlah RM1 juta bagi mengelakkan ia disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan kerana bersubahat melakukan pecah amanah membabitkan RM1 juta dana Armada.
Syed Saddiq turut dipenjara dua tahun dan satu sebatan kerana menyalahgunakan wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Bhd milik Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE).
Selain itu, beliau dikenakan hukuman penjara dua tahun dan denda RM10 juta bagi dua pertuduhan pengubahan wang haram.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman berjalan serentak. Penangguhan pelaksanaan hukuman turut ditangguhkan sementara menunggu pelupusan rayuan. – MalaysiaGazette