KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) perlu berusaha meningkatkan kadar dividen kepada pencarum pada masa depan, sekali gus memberi jaminan pulangan lebih baik kepada ahlinya yang yang merupakan umat Islam dan orang Melayu.
Setiausaha Agung Persatuan Senior Kewangan Islam, Dr. Razli Ramli berkata, perkara itu boleh dilakukan dengan menggabungkan pelaburan yang lebih strategik dan lebih agresif dalam ruang lingkup syariah.
Menurut beliau, Tabung Haji berpotensi meningkatkan pelaburan dengan memasang strategi pelaburan, fokus dalam sektor-sektor yang berkembang pesat seperti teknologi, tenaga boleh diperbaharui dan sektor kewangan Islam.
Dalam masa sama, ujarnya, Tabung Haji juga dapat meningkatkan keuntungan daripada pasaran saham melalui kajian dan pemilihan saham yang bijak.
“Tabung Haji juga boleh mengkaji untuk meningkatkan diversifikasi dalam pelaburan antarabangsa atau sektor baharu yang menawarkan pulangan yang lebih tinggi selagi mematuhi prinsip syariah, sekali gus boleh meningkatkan peluang pendapatan dan mengurangkan risiko,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Jumaat lalu, Tabung Haji mengagihkan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.25 peratus bagi tahun kewangan 2024, tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.
Agihan keuntungan itu membabitkan jumlah agihan bernilai RM2.92 bilion, berbanding RM2.72 bilion tahun sebelumnya, menjadikan jumlah terkumpul agihan keuntungan institusi itu sebanyak RM45.79 bilion sejak penubuhannya 61 tahun lalu.
Sementara itu, menjawab kepada perbandingan pulangan dividen Tabung Haji yang lebih rendah berbanding Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 6.30 peratus, Razli berkata, terdapat beberapa faktor yang membezakan kedua-dua institusi pelaburan tersebut.
Jelasnya, tidak seperti KWSP memiliki pelbagai sumber pelaburan yang lebih besar dan lebih pelbagai, Tabung Haji bagaimanapun cenderung melabur dalam sektor-sektor lebih terhad dan lebih fokus kepada pelaburan yang mematuhi prinsip syariah, yang mungkin memberi pulangan yang lebih konservatif.
Selain itu, katanya, KWSP juga memiliki dana yang lebih besar dan lebih banyak sumber kewangan yang membolehkannya menguruskan pelaburan dengan lebih berkesan dan dapat memperoleh keuntungan yang lebih tinggi daripada pelaburan yang lebih besar.
Berbanding Tabung Haji, ujarnya, institusi itu mungkin mempunyai had dalam pengurusan dana untuk memastikan semua pelaburan mematuhi prinsip syariah, yang kadangkala menyekat pilihan pelaburan berisiko tinggi yang boleh memberikan pulangan lebih tinggi.
“Mandat KWSP fokus kepada strategi mencapai pulangan yang paling maksimum dengan tadbir urus syariah yang robust untuk pencarum, dan ini memberi pengurus dana mereka lebih banyak kebebasan dalam memilih pelaburan berisiko tinggi.
“Tabung Haji sebaliknya, walaupun mempunyai keutamaan untuk memastikan semua pelaburannya adalah patuh syariah, namun beberapa polisi atau tadbir urus dalaman mungkin mengehadkan strategi pelaburan dan potensi pulangan,” katanya. – MalaysiaGazette