Tahniah MAWO MRSM Ulul Albab Felda Trolak

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada MARESMAF Wind Orkestra (MAWO) dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab FELDA Trolak.

Ia selepas pasukan berkenaan berjaya meraih Anugerah Emas ‘Golden Diploma Award’ dalam kategori middle class di 26th Festival Antarabangsa Wind Orchestras Prague 2025.

Katanya, kemenangan tersebut mengharumkan nama negara yang juga disifatkannya sebagai simbol semangat dan potensi luar biasa anak-anak desa yang mampu menakluk pentas dunia.

“Malaysia, satu-satunya wakil dari Asia, berjaya menewaskan tujuh kumpulan orkestra lain dari enam buah negara Eropah! Lebih membanggakan, MAWO (MRSM Ulul Albab) dinobatkan sebagai penerima markah tertinggi oleh barisan juri profesional antarabangsa.

“Saya sendiri berpeluang menyantuni mereka dan memberikan sokongan secara langsung pada malam Konsert “Desaku Mendunia” yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, RTM Angkasapuri pada 28 Mei lalu.

“Ketika itu, saya sendiri menyaksikan dan merasai kehebatan luar biasa yang dimiliki oleh anak-anak muda ini penuh bakat, disiplin dan semangat luar biasa sebelum mereka berangkat ke pertandingan berprestij di Prague,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.

Dalam masa yang sama, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memberi jaminan kerajaan akan terus menyalurkan sokongan dari segi motivasi, penyediaan peralatan dan dana demi memupuk minat dan mengangkat potensi besar anak-anak muda dalam bidang seni dan budaya.

“Kejayaan ini bukan hanya milik MRSM dan Felda, tetapi milik seluruh rakyat Malaysia. Semoga ia menjadi inspirasi kepada anak-anak muda luar bandar bahawa tiada batas untuk bermimpi, dan tiada sempadan untuk berjaya!

“Syabas keluarga besar MRSM, FELDA dan MARESMAF – anda benar-benar telah “MENDONIA”!,” katanya lagi.

Selain itu,Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan pencapaian berkenaan sebagai suatu kebanggaan buat keluarga besar Felda dan seluruh rakyat Malaysia.

“Bayangkan, anak-anak Felda ini baru sahaja menghidupkan semula orkestra ini, tetapi sudah berjaya membuktikan bahawa anak Felda benar-benar Mendonia!” katanya dalam satu hantaran di media sosial.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI